PAS lagi kuat kalau Abdul Hadi sukarela undur diri - Atory
Wan Syamsul Amly
Mac 10, 2015 11:29 MYT
Mac 10, 2015 11:29 MYT
Pas dilihat akan lebih kuat seandainya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundur diri dari terus mempertahankan jawatan itu pada muktamar parti awal Jun ini.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, ia sekali gus membuka jalan kepada Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menggantikan kerusi itu dengan tersusun dan perancangan seterusnya dapat dijalankan dengan lancar.
"Sebaiknya Abdul Hadi lepaskan jawatan itu secara sukarela, ia menjadikan Pas lebih kuat dengan tokoh muda.
"Ia sekali gus memberi bayangan ulama akan bersatu selepas difahamkan sedikit retak dengan adanya beberapa masalah akhir-akhir ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Atory mengulas pencalonan Ibrahim untuk mencabar Abdul Hadi sebagai presiden Pas pada muktamar parti awal Jun ini.
Pengumuman pencalonan tersebut dibuat yang dipertuanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dalam satu mesyuarat khas pada Isnin.
Menurut Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, pencalonan Tuan Ibrahim bagi menggantikan Abdul Hadi dibuat berdasarkan tahap kesihatan presiden Pas itu yang dikatakan merosot, serta ketokohan yang ada pada Tuan Ibrahim selaku ulama dan berpengalaman.
Dalam pada itu jelas Atory, seandainya Abdul Hadi tidak berundur, kekuatan Tuan Ibrahim dalam mengambil alih parti pada masa akan datang tidak dapat dinafikan.
"Letakkan Tuan Ibrahim sebagai orang nombor dua di dalam parti, bila tiba masanya dia akan jadi presiden juga," ujarnya.
Dalam pada itu Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pencalonan itu dianggap masih terlalu awal untuk dibuat sebarang kesimpulan.
"Walaupun ia merupakan pencalonan pertama dalam 15 tahun menentang Abdul Hadi, ia masih awal dan ia datang dari Kelantan, iaitu kubu Tuan Ibrahim sendiri.
"Tuan Ibrahim pernah menarik diri dalam pemilihan Timbalan Presiden sewaktu Nasruddin dulu dan telah tewas kepada Mat Sabu.
Saya rasa Tuan Ibrahim akan meneliti semua sebelum buat keputusan dan kemungkinan presiden akan kekal status quo akhirnya," jelasnya.