Pas kesal, dukacita dengan kenyataan Saifuddin Nasution

Sinar Harian
September 18, 2024 12:40 MYT
TUAN IBRAHIM: Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat PRU, semakin menggelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin Nasution dan partinya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Pas kesal dan berdukacita dengan kenyataan dikeluarkan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berikutan sepanjang Muktamar Pas berlangsung, tiada satu nama disebut dan diserang oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan beliau.
Menurutnya, sepanjang perhimpunan berkenaan, Pas hanya memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin Nasution dan penyokong reformasi turut memperjuangkannya.
“Saya yakin, kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri ini tidak akan terhenti di sini.
“Kami menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat Pilihan Raya Umum (PRU), semakin menggelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin Nasution dan partinya.
“Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan agar tidak dilihat berbohong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Saifuddin dalam satu kenyatan mendakwa Muktamar Tahunan ke-70 Pas yang berlangsung minggu lalu didakwa mencatat sejarah sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam parti itu di bawah kepimpinan Abdul Hadi.
Menurutnya, cacian dan kebencian dihidangkan pemimpin-pemimpin Pas dalam ucapan dan resolusi mereka pada muktamar itu.
Katanya, antara ucapan dibangkitkan dalam perhimpunan parti tersebut adalah membandingkan Kerajaan Perpaduan dengan golongan munafik di Madinah sekali gus ia tidak tepat dan mengelirukan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sejak penubuhan Pas, Abdul Hadi merupakan sosok yang berjaya mengangkat parti tersebut bersama Perikatan Nasional (PN) ke peringkat lebih tinggi.
“Walaupun Abdul Hadi difitnah dengan pelbagai perkara, namun beliau berjaya membawa bersamanya 42 orang ahli Parlimen berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai hanya 31 orang.
“Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata Saifuddin Nasution, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding Pas menguasai empat buah negeri.
"Andai benar dakwaan jahat Saifuddin Nasution, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong Pas sehingga ke tahap ini, Alhamdulillah,” jelasnya. - Sinar Harian
#PAS #Tuan Ibrahim Tuan Man #Muktamar Pas #Saifuddin Nasution
;