PAS Kelantan perlu beri laporan sebelum ambil tindakan terhadap Kamarudin - Abdul Hadi

Bernama
September 11, 2015 15:12 MYT
ABDUL HADI: Laporan itu perlu dikemukakan terlebih dahulu sebelum PAS Pusat memutuskan tindakan terhadap Kamarudin.
PAS Kelantan perlu mengemukakan laporan terperinci berhubung tindakan anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar yang dilaporkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata laporan itu perlu dikemukakan terlebih dahulu sebelum PAS Pusat memutuskan tindakan terhadap Kamarudin.
"Dakwaan boleh dibuat oleh sesiapa," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Perhimpunan Pemuda Istiqomah Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Abdul Hadi menegaskan PAS tetap memperakukan bai'ah dan taklik lafaz cerai talak tiga yang dikenakan terhadap setiap anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan anggota Parlimen PAS di Kelantan.
"Hanya mereka yang tidak yakin dengan perjuangan PAS sahaja yang tidak mahu mematuhinya," katanya.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengumumkan penyertaan Kamarudin dan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dalam parti itu.
#Abdul Hadi Awang #bai'ah #Parti Keadilan Rakyat #PAS #PKR