PAS kekal kerjasama dengan PKR

Muhafandi Muhamad
September 23, 2015 00:50 MYT
TAKIYUDIN: PAS masih lagi mengekalkan kerjasama politik dengan PKR kerana perkara itu diputuskan pada muktamar parti Jun lalu.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) memutuskan untuk mengekalkan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), meskipun tidak menyertai Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan semalam.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Dewan Harian lewat petang Selasa yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketetapan untuk tidak menyertai blok pembangkang yang baru dibentuk itu juga dibuat dalam mesyuarat berkenaan.
"PAS juga sedang melaksanakan plan tindakan, bagi merealisasikan tema kongres rakyat, iaitu membina Malaysia sejahtera,
"Sehubungan itu, PAS mengekalkan hubungan dan kerjasama politik dengan PKR.
"PAS menghormati hak mana-mana pihak merangka agenda politik tersendiri. Walau bagaimanapun, PAS tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan," jelas Takiyuddin dalam sidang medianya.
Takiyuddin turut menegaskan, PAS akan menumpukan usaha ke arah pemerkasaan parti dan melebarkan sokongan rakyat terhadap perjuangannya di seluruh negara.
Beliau juga menafikan tujuan meneruskan kerjasama politik dengan PKR adalah bagi meraih sokongan pengundi bukan Islam.
Sebaliknya, beliau menekankan PAS tidak memerlukan PKR untuk tujuan itu kerana ia sendiri mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang diterajui masyarakat bukan Islam.
#Amanah #DAP #Pakatan Harapan #PAS #PKR #PRU14 #Takiyudin Hassan