Pas kekal dalam kerajaan Selangor hingga bubar DUN

Astro Awani
Februari 28, 2018 19:49 MYT
Sallehen Mukhyi menegaskan mandat yang diberikan akan diteruskan sehingga DUN dibubarkan. -Gambar fail
Pas Selangor akan terus kekal bersama kerajaan negeri biarpun peruntukan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu masih disekat.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi menegaskan mandat yang diberikan akan diteruskan sehingga DUN dibubarkan.
“Ya, masih kekal sebab itu mandat tuanku sendiri supaya jaga kerajaan ini jadi kami akan terus bekerja kecuali kami dipecat dari Kerajaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini Sallehen berkata Pas Selangor tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan menyekat peruntukan kepada mana-mana Adun di Selangor.
Mengulas lanjut, Sallehen mendakwa sembilan Adun Pas Selangor terpaksa mengeluarkan wang sendiri berjumlah RM700,000 selepas peruntukan mereka dibekukan kerajaan negeri.
Beliau juga menegaskan tindakan Mohamed Azmin menyekat peruntukan terhadap sembilan Adun Pas itu bertentangan dengan janjinya sendiri untuk mengutamakan kebajikan rakyat.
"Setakat ini kami tidak menerima sebarang peruntukan walaupun diberitahu ia telah diagihkan kepada ADUN lain (daripada parti komponen Pakatan Harapan).
"Bagaimanapun wakil rakyat kami terus menjalankan tugas mereka menggunakan wang sendiri. Program bukan saja diteruskan, malah semakin bertambah," katanya lagi.
ADUN Sabak itu berkata beliau mengenali Mohamed Azmin sejak tahun 1999 dan timbalan presiden PKR itu sentiasa bercakap soal menegakkan keadilan.
"Jadi dalam kes ini, kami tertanya ke mana laungan keadilan untuk semua itu?" soalnya.
Antara yang didakwa paling tinggi mengeluarkan perbelanjaan sendiri adalah Adun Chempaka Iskandar Abdul Samad (RM197,000), diikuti ADUN Gombak Setia Hasbullah Mohd Ridzuan (RM130,000), dan ADUN Selat Kelang Halimah Ali (100,000).
"Saya sendiri perlu mengeluarkan RM40,000 wang sendiri," katanya lagi.
Beliau mengingatkan Azmin bahawa 13 ADUN Pas itu mewakili hampir 500,000 penduduk Selangor dan sekatan peruntukan itu juga bermakna menafikan hak mereka.
"Kami diberitahu secara mulut yang perlu menulis surat rayuan maka hari ini kami memberi maklum balas juga secara mulut agar Azmin menjelaskan perkara ini.
"Belanjawan negeri sudah pun diluluskan. Menulis surat untuk mendapat peruntukan bukan prosedur yang diamalkan," katanya lagi.
#ADUN #Ahli Dewan Undangan Negeri #PAS #Pas Selangor #Sallehen Mukhyi
;