Pas kaji semula kerjasama dengan Berjasa - Abdul Hadi

Harits Asyraf Hasnan
November 4, 2019 19:48 MYT
ABDUL HADI: Kita tidak setuju dia bertanding. - Gambar fail
Pas akan mengkaji semula hubungan kerjasama dengan Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) selepas parti itu mencalonkan Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tindakan tersebut dilihat melanggar keputusan yang dicapai oleh parti itu untuk tidak meletakkan calon dan menyokong calon MCA, Datuk Dr Wee Jeck Seng.
"Kita tidak setuju dia (Presiden Berjasa) bertanding. Itu terpulang kepada dia (untuk bertanding). Dan kita tidak setuju dia bertanding.
"Kerjasama dengan Berjasa, itu kita akan kaji dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Ketika ini, Pas bekerjasama rapat dengan Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang membentuk Gagasan Sejahtera sebagai blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016.
Pada Sabtu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan mengarahkan semua ahli dan pengundi parti itu untuk mengundi Jeck Seng.
#Abdul Hadi Awang #Badhrulhisham Abdul Aziz #Berjasa #calon prk #jemaah islamiah malaysia #kerjasama politik #PAS #pilihan raya kecil #Politik Malaysia #PRK Tanjung Piai #Tanjung Piai Memilih
;