Pas ibarat 'burung belatuk', berpuas hati penjelasan 1MDB - Guan Eng

Astro Awani
Ogos 8, 2017 17:04 MYT
Guan Eng berkata pihaknya sangsi sama ada PAS benar- benar jelas dengan isu berkaitan 1MDB sebagaimana yang hebat ditentang pakatan pembangkang sebelum ini. - Gambar fail
DAP menyifatkan Pas sebagai 'burung belatuk' selepas mereka dikatakan berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pihaknya sangsi sama ada Pas benar-benar jelas dengan isu berkaitan 1MDB sebagaimana yang hebat ditentang pakatan pembangkang sebelum ini.
Pas katanya seolah -olah senada dengan UMNO apabila menzahirkan rasa puas hati sedangkan mereka tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai pendirian sebenar mereka selepas sesi pendengaran mengenai 1MDB itu.
Guan Eng yang Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sepatutnya Pas lebih fokus dan berani menyoal Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung isu yang masih tidak jelas berhubung 1MDB dan bukan sekadar berpuas hati dengan penjelasan dibuat.
Tambah Guan Eng, Arul Kanda sepatutnya menjelaskan segala perkara yang menjadi kontroversi selepas ia dibangkitkan oleh Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua.
Katanya, banyak perkara boleh dibangkitkan antaranya mengenai peranan yang dimainkan oleh hartawan kelahiran Malaysia Jho Low dalam 1MDB itu sendiri.
“Adakah mereka tanya peranan yang dimainkan Jho Low. Mengapa tidak minta Jho Low balik untuk disiasat atau minta Jho Low pulangkan duit yang dia sudah ambil,” katanya lagi.
Guan Eng berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Komtar, George Town pada Selasa.
Pada Isnin, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan parti itu berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu 1MDB dan menerima penjelasan oleh Arul Kanda mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Arul Kanda #DAP #Lim Guan Eng #PAS #pulau pinang #Tuan Ibrahim Tuan Man #UMNO
;