PAS hargai SPR & pihak keselamatan dalam memastikan dua PRK lancar

Bernama
Jun 19, 2016 21:09 MYT
Abdul Hadi juga mengucapkan tahniah kepada para pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana menunaikan tanggungjawab mereka - Foto Fail Astro AWANI/Shahir Omar
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak keselamatan yang bekerja keras memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar semalam, berjalan lancar dan tenang.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih parti pilihan masing-masing.
"Kepada pengundi yang memilih PAS, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana terus memberikan kepercayaan kepada PAS," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
PRK Kuala Kangsar dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid yang memperoleh 12,653 undi untuk menewaskan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad yang meraih 5,684 undi, calon Parti Amanah Negara (Amanah) Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) serta calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang mendapat 54 undi dan hilang wang pertaruhan.
Di PRK Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi yang mendapat 16,800 undi mengalahkan calon PAS Dr Abdul Rani Osman yang memperoleh 6,902 undi dan calon Amanah Azhar Abdul Shukur yang meraih 7,609 undi.
#Abdul Hadi Awang #PRK Kuala Kangsar #PRK Sungai Besar #SPR
;