Pas gesa semua pimpinan parti politik bincang tangani isu inflasi
Hilmi Malik
Jun 28, 2022 13:44 MYT
Jun 28, 2022 13:44 MYT
KUALA LUMPUR : Pas menggesa kesemua pimpinan parti politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk mengadakan perbincangan bersama dalam mengatasi isu peningkatan kos sara hidup.
Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, krisis tersebut akan berlarutan sekiranya tiada sebarang tindakan holistik diambil.
Justeru, Pas katanya turut mengemukakan beberapa cadangan khususnya terhadap golongan bersasar dalam berdepan dengan keadaan inflasi yang melanda seluruh dunia.
“Mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui Kad Pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian dan langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam.
“Kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama. Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, Pas juga mencadangkan untuk satu sidang Parlimen khas diadakan bagi membincangkan isu itu secara terperinci selain memperoleh cadangan dari ahli Parlimen.
Langkah itu katanya, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah untuk mencari penyelesaian dalam apa jua permasalahan.