Pas gesa Ahmad Zahid henti berpolitik, sebaliknya bantu PM selesaikan masalah rakyat
Fareez Azman
Jun 12, 2022 15:53 MYT
Jun 12, 2022 15:53 MYT
KUALA LUMPUR: Pas menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar berhenti berpolitik seketika terutama dalam mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin Ahmad Zahid seharusnya memberi fokus dalam membantu perdana menteri mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi rakyat terutama dari aspek ekonomi.
"Pas menyeru kepada Presiden Umno untuk berhenti seketika daripada "berpolitiking" kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.
"Beliau seharusnya berikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan YAB Perdana Menteri dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan akhir-akhir ini.
"Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Khairil, peningkatan kadar inflasi ketika ini memberi impak kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Justeru, beliau menyeru agar Ahli Majlis Tertinggi UMNO menasihati Presiden parti itu agar tidak memberikan tekanan menyegerakan pilihan raya.
"Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
"Saya juga ingin menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk menasihati Presiden mereka yang sering kali memberikan tekanan kepada YAB Perdana Menteri untuk segerakan PRU15.
"Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Presiden UMNO haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan," katanya.
Mengulas lanjut jelas Khairil, tujuan Pas menyokong kerajaan pada hari ini demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan.
"Jangan diheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti. Sepertimana Presiden UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.
"Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.
"Berikan sokongan tidak bersyarat kepada YAB Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya lagi.
Semalam, Ahmad Zahid turut menemplak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tindakan UMNO meminta agar menyegerakan PRU-15 sebagai gila kuasa.
Sebaliknya jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kenyataan Abdul Hadi itu hanya disebabkan Pas khuatir bakal kehilangan kerusi Parlimen sekiranya pilihan raya diadakan dengan kadar segera.