Pas enggan campur urusan UMNO Perak jika mahu gabung dengan DAP, Amanah

Muhafandi Muhamad
Disember 5, 2020 19:48 MYT
Mohd Amar berkata, Pas tidak dimaklumkan mengenai usul undi percaya berkenaan sebelum ini. -Gambar fail
KOTA BHARU: Pas tidak mahu masuk campur dalam urusan UMNO Perak termasuk jika parti itu mahu bergabung dengan DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) untuk membentuk kerajaan negeri.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata itu adalah hak UMNO Perak.
Beliau sebaliknya menegaskan, walaupun pelbagai spekulasi diperkatakan buat masa ini, Pas mengambil sikap tunggu dan lihat.
"Dari segi kedudukan... parti-parti tak boleh hendak mengatur dan mengarahkan UMNO Perak... terserah kepada mereka... hendak gabung dengan siapa..
"Kita (Pas) setuju atau tidak... itu isu berbeza... tapi kita tak ada hak kalau dia (UMNO Perak) kata hendak tubuh kerajaan hendak bergabung dengan DAP...," katanya di sini, hari ini.
BACA: LAPOR LANGSUNG: ''Saya telah cuba melakukan yang terbaik' - Faizal Azumu umum letak jawatan
BACA: Pas tidak sertai pembentukan kerajaan baharu Perak
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan ADUN Pengkalan Baharu daripada BN, Datuk Abdul Manaf Hashim, pada Jumaat.
Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas tidak dimaklumkan mengenai usul undi percaya berkenaan sebelum ini walaupun Pas dan UMNO bergabung dalam Muafakat Nasional.
"Sepatutnya dibincangkan kalau tak puas hati. Kalau dia buat macam ini, dia letakkan semua orang dalam 'awkward position' (serba salah)... tak tahu nak bergerak...," katanya.
Sebelum ini timbul spekulasi UMNO Perak tidak menolak kemungkinan bergabung dengan DAP atau Parti Amanah Negara (Amanah) untuk membentuk kerajaan negeri apabila Pas menegaskan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.
#PAS #Perak #UMNO Perak #gabung #DAP #Amanah #Naib Presiden Pas #Mohd Amar Nik Abdullah #Ahmad Faizal Azumu #politik perak
;