'Pas dan UMNO dah lama simpan perasaan' - Mujahid

Sinar Harian
September 17, 2018 21:18 MYT
DR MUJAHID: Ketika di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, Pas dan Umno dilihat seolah-olah 'bertunang' dan hanya menanti tarikh untuk majlis perkahwinan sahaja. - Gambar fail
Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa kemesraan Pas-Umno tidak dapat disembunyikan lagi setelah sekian lama 'menyimpan perasaan'.
Katanya, bukanlah mengejutkan kerana sebelum ini kedua parti yang setelah sekian lama 'kasih berputik' telah pun ada hubungan intim melalui isu 'Melayu-Islam'.
Jelasnya, sebelum ini, setelah Pas bercerai dengan Pakatan Rakyat, parti Islam tersebut memaklum dirinya sudah lagi "tidak berpunya" dan Umno pun cepat-cepat mengintai peluang merisik.
"Ketika di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, Pas dan Umno dilihat seolah-olah 'bertunang' dan hanya menanti tarikh untuk majlis perkahwinan sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Kerjasama dengan UMNO bukan keperluan mendesak - Presiden Pas
Mengulas perkembangan ini Mujahid berkata, perkara ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan isu perpaduan Melayu ataupun demi Islam kerana jika kita mengatakan demikian, kita telah 'menswastakan' isu Melayu dan Islam untuk dimonopoli oleh dua parti ini sedangkan jenama Melayu-Islam adalah isu nasional rentas parti dan kaum.
Katanya lagi, perkara ini begitu penting sekali diberi perhatian dalam hubungan Pas-Umno kerana isu 'perpaduan Melayu dan demi Islam' sebenarnya adalah alasan yang hakikatnya hanyalah kosmetik bagi mencapai maksud helah politik untuk bersaing dengan PH.
"Adalah sedia dimaklumi bahawa Pas tak mungkin bersendirian untuk menguasai politik negara begitu juga Umno yang hilang tongkat MCA, Gerakan dan MIC.
"Jadi amat wajarlah gabungan ini dipacu," katanya.
#Islam #Melayu #menyimpan perasaan #Mujahid Yusof Rawa #Naib Presiden Amanah #PAS #UMNO
;