Pas dakwa PH-BN tidak ikhlas majukan negara
Sinar Harian
September 11, 2024 07:30 MYT
September 11, 2024 07:30 MYT
TEMERLOH: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa tidak ikhlas dalam memajukan negara, selain mempunyai agenda tersendiri demi kepentingan politik masing-masing.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa, politik dipamerkan gabungan itu adalah politik dendam yang sudah ditolak oleh sebahagian daripada anak muda pada hari ini.
“Kita (Pas) berada dalam pembangkang untuk berdepan dengan gabungan ini, maka sudah tentulah muktamar yang sedang berlangsung bermula malam ini bukan perkara yang main-main, tapi langkah atur strategi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur di Kerdau di sini, semalam.
Afnan Hamimi turut memaklumkan PH hanya mampu memerintah negara selama 22 bulan, bergabung dengan BN atau UMNO yang secara jelas ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu.
Sehubungan itu, beliau menyeru perwakilan Dewan Pemuda Pas seluruh negara agar tidak berusaha menambat hati pengundi khususnya golongan muda.
“Ini adalah perkara besar untuk kita atur strategi, susun mengenai apa yang kita nak buat supaya ia terus menambat hati pengundi khususnya pengundi muda.
"Malah ia juga akan menyelamatkan negara daripada ditadbir oleh orang yang merosakkan negara pada hari ini,” ujarnya. - Sinar Harian