Pas, Bersatu, BN tidak mampu hadapi PRU bersendirian - Mohd Amar
Muhafandi Muhamad
Disember 30, 2020 18:05 MYT
Disember 30, 2020 18:05 MYT
KOTA BHARU: Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun Barisan Nasional (BN) tidak mampu menghadapi pilihan raya bersendirian, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Berikutan itu, katanya ketiga-tiga parti melalui Perikatan Nasional (PN) perlu bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Dalam tiga parti ini, secara asasnya tidak ada satupun yang boleh berdiri sendiri untuk jadi kerajaan yang gagah dalam pilihan raya akan datang.
"Kena ada kerjasama mantap antara Pas, UMNO (BN) dan Bersatu... sebab pengalaman lepas kita tengok kerajaan tak stabil kerana jumlah (majoriti) kecil.
"(Sebagai contoh, ketika) belanjawan baru-baru ini. Tiga undi sahaja (beza) tiga undi... tak stabil... Ini jejaskan keyakinan pelabur," katanya di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau mengulangi pendirian Pas akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan PN.
Katanya, pada masa ini, semua parti dalam PN perlu merapatkan persefahaman dan mengurangkan ketidaksefahaman.
Ditanya berhubung pendaftaran MN, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata MN tidak dapat didaftarkan kerana nama itu sudah digunakan oleh pihak lain.
Beliau difahamkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia memaklumkan nama berkenaan tidak boleh digunakan dan perlu diganti dengan nama lain.
#PAS
#Bersatu
#BN
#UMNO
#tidak mampu
#bersendirian
#PRU15
#pilihan raya
#gabungan
#Mohd Amar
#Timbalan Presiden Pas
#Kelantan