Pas bermain kayu tiga - Pemuda UMNO Kelantan

Vivi Sumanti
Januari 23, 2022 10:43 MYT
Noor Hariri berkata, Pas secara simboliknya "menggantung tidak bertali" dan membiarkan UMNO tanpa hala tuju yang jelas. - Foto fail
KOTA BHARU: Pergerakan Pemuda UMNO negeri Kelantan menghormati keputusan Pas untuk kekal bersama parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas parti itu kekal mempertahankan Perikatan Nasional (PN) yang didaftarkan.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata walaupun Pas Kelantan melalui Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yakob menyatakan hasrat untuk terus bekerjasama dalam blok Muafakat Nasional (MN) sehingga Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), ianya secara tidak langsung meletakkan UMNO dalam keadaan "dimadukan".
"Pas bermain kayu tiga dengan UMNO, sedangkan Pas tahu yang UMNO tidak boleh menjalinkan kerjasama politik bersama Bersatu," katanya dalam satu kenyataan.
"Mana mungkin UMNO boleh semeja dengan Bersatu yang merupakan saingan politik, Pas secara simboliknya "menggantung tidak bertali" dan membiarkan UMNO tanpa hala tuju yang jelas," tambahnya.
Menurut Noor Hariri lagi, Pemuda menghormati keputusan akar umbi UMNO dari bawah sehingga ke pucuk pimpinan seperti mana dua kali Mesyuarat Perwakilan Bahagian 2020 dan 2021 serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Tahun 2020 jelas menolak kerjasama dengan Bersatu.
Katanya UMNO dan Pas telah melalui persefahaman politik unik dan indah dengan linangan air mata kesyukuran sehingga termeterainya piagam MN pada September 2019 ketika bersama-sama menjadi pembangkang.
Manakala Pas pula telah mengikat perjanjian bersama Bersatu di dalam satu ikatan parti berdaftar PN setelah menjadi Kerajaan.
Mengambil kira kepada semua peristiwa yang disebut di atas, UMNO membawa suara akar umbi ahli untuk berpisah dengan Pas Kelantan sehingga PRU15 selagi mana kerjasama bersama Bersatu masih diteruskan.
Jelasnya apapun yang berlaku dalam pelbagai dinamika senario politik hari ini, pemuda UMNO Kelantan senada bersama pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang sentiasa mengamalkan politik matang demi menjaga kerukunan ukhwah yang telahpun terjalin.
Semalam, Ahmad Jazlan memaklumkan MN di Kelantan terbubar serta merta selepas Pas gagal menyatakan pendirian dan hala tuju partinya.
Bagaimana pun tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO tetap menyokong kerajaan Kelantan selagi mana Kerajaan Kelantan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dengan keputusan tersebut, UMNO Kelantan akan bergerak solo dan bakal bertanding di kesemua 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen.
#PAS #UMNO #Kelantan #Bersatu
;