Pas beri "teka-teki Nujum Pak Belalang" pada BN, PH
Rahimah Abdullah
Mei 2, 2018 19:35 MYT
Mei 2, 2018 19:35 MYT
Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Syahir Sulaiman menyifatkan calon pemimpin dikemukakan Pas, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak ubah seperti teka-teki "Nujum Pak Belalang" yang dilakonkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Katanya, dalam memilih calon wakil rakyat, dua elemen yang penting, iaitu 'elok' dan 'pandai'.
"Orang tua-tua ada berpesan kalau memilih tempat mandi, pertama teluk, kedua pantai. Kalau memilih pemimpin negeri pertama elok, kedua pandai," katanya semasa menjadi salah seorang tetamu Wacana Sinar ke-55 bertajuk "Tiga penjuru: Siapa dapat manfaat?" di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.
Bagaimanapun kata Syahir, dua elemen itu hanya wujud dalam BN secara 'sikit-sikit', dan dalam PH, 'kadang-kadang'.
"Yang elok dan pandai ini, dalam BN sikit-sikit, dalam Pakatan Harapan kadang-kadang. Dalam Pas yang elok dan pandai, sebab Menteri JPM pernah sebut, 92 pemimpin politik disiasat kes rasuah.
“Dulu yang disiasat (rasuah) ini hanya pemimpin BN. Sekarang pemimpin pakatan dah mula dibicara dengan rasuah. Pas sejak tahun 1990 hingga sekarang tidak pernah disiasat mahupun didakwa (rasuah)," ujarnya.
Tambah beliau, pertembungan tiga penjuru antara BN, Pas dan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti hanya menguntungkan rakyat.
"Siapa yang untung dalam tiga penjuru? Jawapan saya ialah rakyat dan mereka yang bersama-sama dengan rakyat," katanya lagi.
Syahir memberi contoh di Parlimen Batu dan DUN Penaga yang mungkin memberi kemenangan percuma kepada BN jika Pas tidak turun mencabar parti itu.
"Mujur Pas hantar calon di Parlimen Batu (Azhar Yahya), DUN Penaga (Mohd Yusni Mat Piah) dan kerusi-kerusi lain. Kalau Pas tidak meletakkan calon pada 28 April lalu, BN dah menang percuma di Parlimen Batu dan DUN Penaga," ujar beliau.
Dalam pada itu tegasnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap PRU14.
"Saya pernah bertanya Tuan Guru Hadi, saya kata saya nampak beliau yakin. Beliau cakap yakin, cuma takut menang besar.
"Keyakinan pimpinan Pas sangat tinggi. Rakyat hendak calon, parti dan manifesto yang baik, bukannya omongan kosong," tambahnya.
#Abdul Hadi Awang
#Barisan Nasional
#calon PRU
#MalaysiaMemilih
#nujum pak belalang
#Pakatan Harapan
#PAS
#Pemuda Pas
#PRU14
#Syahir Sulaiman