PAS beri isyarat, akan buat kejutan dalam PRK Kuala Kangsar

Nazialita Geynna Maharan
Jun 10, 2016 15:25 MYT
Idris ketika menjawab soalan media dalam sidang media di Markas PAS Kuala Kangsar, Bukit Chandan, di sini pada petang Jumaat. - foto Astro AWANI
PAS hari ini memberi isyarat jelas bahawa parti itu bakal membuat kejutan dengan merampas kerusi Parlimen Kuala Kangsar daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan tersebut bulan depan.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, ia berdasarkan kepada penerimaan masyarakat Kuala Kangsar yang menyambut baik kedatangan mereka dan boleh menerima segala maklumat disampaikan.
Menurutnya, situasi itu jelas berbeza dengan beberapa pilihan raya yang lalu di mana ada peraih undi dari parti itu dihalau apabila mereka memasuki kawasan kubu kuat Umno.
"Setakat ini, apabila kami pergi dari rumah ke rumah, semuanya melayan kami dengan baik, termasuk juga orang Umno yang kata selama ini sokong Umno, tapi ingin berubah dalam PRK kali ini.
"Sebelum ini, mereka terikut sentimen mengatakan hanya Umno dan BN boleh memerintah negara. Apa yang saya lihat, sentimen itu sudah banyak terhakis.
"Setakat ini, tempat yang kita pergi memang kawasan kuat Umno, tapi mereka beri sambutan baik," katanya dalam sidang media di Markas PAS Kuala Kangsar, di sini, pada petang Jumaat.
Dalam pada itu, PAS mengajak rakyat Kuala Kangsar supaya memberi isyarat bahawa mereka tidak gembira dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam PRK yang akan diadakan pada 18 Jun ini.
Idris menggesa rakyat di kawasan Parlimen itu berani berubah sekaligus menjadi contoh kepada rakyat kawasan lain agar mereka melakukan perkara sama kelak.
"PAS dengan rakyat Kuala Kangsar mampu sampaikan isyarat jelas kepada Najib bahawa rakyat sememangnya terkesan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup.
"Justeru, isyarat itu perlu dihantar kepada Najib. Kalau masih pilih BN, Najib dan pimpinannya akan berasa selesa. Bukan mustahil sekiranya GST ditingkatkan kepada 8 peratus selepas ini.
"Semoga nama Kuala Kangsar terpahat sebagai rakyat yang berani berubah dan menjadi contoh kepada rakyat di luar sana untuk berani berubah," ujar Idris.
#calon PAS #Idris Ahmad #membuat kejutan #pilihan raya kecil Kuala Kangsar