PAS bergabung dengan UMNO adalah impian DAP, bukannya PAS - DPPM
Astro Awani
November 24, 2015 19:37 MYT
November 24, 2015 19:37 MYT
PAS kekal istiqamah dengan perjuangannya tanpa sedikit ruang untuk bergabung dengan UMNO seperti yang diharapkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Khairil Nizam Khirudin.
Lantaran itu menurut Khairil, isu pembentukan kerajaan perpaduan UMNO dengan PAS yang digembar-gemburkan sejak 2008 selama ini adalah impian DAP, bukan PAS.
"Memang pelik bila DAP sangat bersungguh-sungguh untuk PAS bergabung dengan UMNO berbanding dengan orang PAS sendiri. Mereka pula yang lebih ghairah bermimpi hingga melupakan tanggungjawab mereka dalam menguruskan amanah rakyat dan parti mereka sendiri.
"Kini mereka mahu membuang PAS di Pulau Pinang dan Selangor. Sepanjang tujuh tahun difitnah, PAS kekal bersama mempertahankan Kerajaan Selangor, berjuang mempertahankan kerajaan Perak yang digulingkan, menyokong dasar-dasar positif Kerajaan Pulau Pinang," tambah Khairil dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau mendakwa tindakan Guan Eng yang tidak pernah berhenti menyatukan PAS dan UMNO adalah berikutan kekecewaan Guan Eng untuk melihat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijatuhkan dalam Muktamar PAS kali ke-61 lalu telah menemui kegagalan.
Jelas Khairil lagi, sikap DAP yang suka dilihat sebagai sebuah parti yang suka mencari gaduh dengan rakan-rakan sekutu mereka dan cuba menunjukkan perangai sebagai 'Abang Besar' dalam pakatan parti, merosakkan hubungan Pakatan Rakyat selama ini.
Beliau berkata sikap DAP ini juga akan terus menjadi duri dalam daging terhadap sekutu baharu dalam Pakatan Harapan.
"Mereka sanggup bergabung untuk dapatkan kuasa, dan bila sudah dapat kuasa mereka akan tunjuk perangai besar kepala," kata Khairil.
Khairul juga berkata, DAP kini semakin angkuh khususnya di Pulau Pinang kerana DAP dilihat mengenepikan hak-hak parti-parti pakatan lain untuk bersuara dan cuba membolot semua keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.
"Tidak cukup dengan PAS, kini DAP mula menyerang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang pula dan menuduh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang mengambil keputusan berkecuali dari menolak usul tebus guna tanah seluas 2,600 hektar untuk diperdebatkan secara umum.
"Sekaligus DAP menuduh bahawa lima ADUN PKR ini menyokong dan bersekongkol dengan UMNO yang mengemukakan usul berkenaan. Asal berkecuali atau tidak menyokong mereka, pasti akan dikatakan menyokong UMNO," tambah Khairil.