PAS, apa salahnya sertai Bersih 4.0? - Hanipa Maidin
Mariah Ahmad
Ogos 14, 2015 08:48 MYT
Ogos 14, 2015 08:48 MYT
Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin pada Khamis meminta PAS supaya menimbang semula pendirian parti itu berhubung perhimpunan Bersih 4.0 akan datang.
Beliau berkata PAS sepatutnya tidak mengambil pendirian tidak menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada 28 Ogos itu nanti.
"Saya rasa PAS sepatutnya tidak mengambil pendirian tidak sertai. Apa salahnya sertai perhimpunan ini sebab kita berhimpun bukan untuk menjatuhkan kerajaan tapi kami mahu meminta pilihan raya yang adil dan bersih.
"Saya berharap PAS menimbang semula pendirian mereka," jelas beliau ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Seksyen 124B, Hina Demokrasi Berparlimen di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada lewat Khamis.
Sebelum ini PAS menyatakan pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya menyertai perhimpunan Bersih 4.0.
Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah PAS tidak terlibat dalam penganjuran Bersih kali ini dan tidak dipanggil untuk melibatkan diri secara rasmi.
Jelas Mohd Amar lagi, walaupun PAS tidak dipanggil untuk melibatkan diri secara rasmi, PAS juga tidak membuat larangan kepada ahlinya untuk menyertai perhimpunan yang menuntut pengukuhan demokrasi parlimen itu.
Dalam pada itu, Hanipa juga mengucap terima kasih kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana mengatakan rakyat mempunyai hak untuk mengadakan sebuah perhimpunan aman.
"Saya mahu berterima kasih kepada Nur Jazlan kerana mengatakan ini perhimpunan aman. Jadi saya harap beliau buat apa yang dia cakap. Beliau juga perlu menasihati Perdana Menteri dan pihak polis."
Nur Jazlan sebelum ini berkata perhimpunan yang dijangka diadakan di beberapa lokasi seluruh negara itu dibenarkan, selagi tidak mengganggu ketenteraman awam.
Beliau bagaimanapun menegaskan perhimpunan perlu dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Tegasnya, jika perhimpunan tersebut menyebabkan kekecohan dan mengganggu masyarakat, pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak penganjur.
Akta Perhimpunan Aman 2012 antaranya memperuntukkan bahawa penganjur perlu memberi notis penganjuran kepada polis selewat-lewatnya 10 hari sebelum acara.
Sekiranya gagal berbuat demikian, denda sebanyak RM10,000 akan dikenakan.
Mengikut akta itu, perhimpunan dilarang diadakan dalam lingkungan 50 meter dari tempat ibadat, stesen janakuasa elektrik, stesen minyak, terminal pengangkutan, tadika dan sekolah.