Pas anggotai kabinet Sabah, buka ruang kritikan - Jeffrey

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 8, 2020 18:48 MYT
Jeffrey menegaskan ketidakpekaan ahli Pas dalam membuat kenyataan sebelum ini telah membuatkan ramai rakyat beragama kristian di negeri itu tersinggung. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Pelantikan Setiausaha Pas Sabah Datuk Aliakbar Gulasan sebagai salah seorang daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik seolah-olah membuka ruang kritikan pihak pembangkang.
Presiden Parti Solidariti Rakyat STAR , Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata kenyataannya itu sama sekali tidak bermaksud membelakangi keputusan yang telah dibuat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor atau bersifat serangan peribadi terhadap Aliakbar.
"Pada pelantikan hari ini Setiausaha Pas Sabah Aliakbar Gulasan menjadi salah seorang daripada enam ADUN yang dilantik dan STAR melihat ini akan membuka ruang kritikan dan ejekan kepada kerajaan negeri oleh pihak lawan.
"Pernyataan ini bagaimanapun tidak boleh ditafsirkan sebagai serangan terhadap keperibadian Aliakbar dan saya ingin menekankan bahawa pelantikan Adun dilantik adalah hak utama Ketua Menteri," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
BACA: Pelantikan wakil Pas dalam kabinet Sabah beri impak kepada GRS?
Jeffrey menegaskan ketidakpekaan ahli Pas dalam membuat kenyataan sebelum ini telah membuatkan ramai rakyat beragama Kristian di negeri itu tersinggung.
BACA SEMUA BERHUBUNG PILIHAN RAYA NEGERI SABAH 2020 DI SINI
"Saya menyedari bahawa dia (Aliakbar) secara terbuka tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin PAS baru-baru ini yang sangat menyinggung perasaan orang Kristian di Sabah dan Sarawak.
"Pemimpin Pas berkali-kali mengeluarkan kenyataan yang mengecewakan perasaan dan sentimen Sabah yang berbilang bangsa dan agama.
"Rakyat Sabah tidak memerlukan parti politik untuk mengajar mereka mengenai perpaduan antara agama."katanya.
Tambah Jeffrey beliau berharap agar ahli parti itu dan rakyat Sabah khususnya tidak termakan dengan sentimen-sentimen yang bakal melemahkan semangat perpaduan di negeri itu.
"Oleh itu, saya menggesa semua ahli STAR dan masyarakat untuk tetap tenang dan tidak menyerah pada ejekan dan penghinaan yang dilemparkan oleh pihak lawan.
"Bermain politik sepanjang masa tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya.
Jeffrey pada masa sama berpuashati dengan pembahagian kerusi kabinet apabila semua Adun dari STAR terpilih menganggotai Kabinet.
Beliau turut mengalu-alukan lantikan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee sebagai Adun dilantik seterusnya melengkapi kabinet Sabah yang dipimpin Hajiji.
#Aliakbar Gulasan #Jeffrey Kitingan #Parti Solidariti Rakyat STAR #Pas Sabah #Hajiji Mohd Nor #Parti Progresif Sabah #SAPP #Yong Teck Lee #Sabah Memilih #PRN Sabah 2020 #Pilihan Raya Negeri Sabah 2020
;