PAS akan tolak jawatan MB Selangor - Mat Sabu

Irwan Muhammad Zain
September 7, 2014 07:51 MYT
PAS kekalkan keputusan tidak tuntut jawatan MB Selangor
Jawatankuasa PAS Pusat hari ini memutuskan untuk kekal dengan pendirian tidak menuntut jawatan menteri besar Selangor, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Mustafa berkata PAS juga memutuskan untuk menyerahkan kepada budi bicara Sultan Selangor untuk memutuskan nama menteri besar Selangor yang baharu.
"PAS pusat kekalkan keputusan yang pernah kita (PAS) buat sebelum ini iaitu tidak menuntut jawatan menteri besar selangor.
"PAS bersetuju bahawa jawatan Menteri Besar selangor adalah ialah untuk PKR," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat bulanan Jawatankuasa PAS Pusat, di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut.
Mustafa berkata tidak timbul isu tentang calon di kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dengan ketetapan terbaharu yang dibuat ini.
"Nama (calon) tak apa...Tuanku cuma minta cadangan.
"Nama tak jadi persoalan," katanya ringkas.
Beliau juga menegaskan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat hari ini melibatkan persetujuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mengulas tindakan PAS meletakkan nama Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad, Mustafa pula berkata, ia tidak akan menjadi isu.
Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat ini dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan berlangsung selama lima jam bermula dari pukul 10 pagi hingga 3 petang.
Sementara itu, Mohamad ketika ditemui selepas sidang media berkata, pihaknya akan menolak jawatan menteri besar selangor jika istana jawatan berkenaan.
"Kita tolaklah," katanya.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan supaya PAS, PKR dan DAP agar menamakan lebih dari dua calon untuk diperkenankan sebagai menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Abdul Khalid memutuskan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2008 selepas 30 Adun Pakatan Rakyat Selangor menanda tangani surat akuan memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
#Menteri Besar Selangor #Mustafa Ali #PAS