Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya - Muhyiddin
Astro Awani
Disember 24, 2018 05:17 MYT
Disember 24, 2018 05:17 MYT
“Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya."
Demikian reaksi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila Pas meramalkan yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan tumbang lima tahun lagi.
Muhyiddin menjelaskan kenyataan yang dibuat Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah itu berbaur cemburu dan iri hati dengan kejayaan PH.
“Dulu kita pernah runding dengan mereka tetapi mereka dakwa perjuangan mereka, perjuangan Islam.
“Tetapi perjuangan kita (PH) lebih Islam daripada mereka daripada segi menguruskan ekonomi lebih baik, menolak rasuah dan membina masa depan lebih cerah. Semuanya Islam.”
Sebuah akhbar pada Isnin melaporkan Mohd Amar berkata PH di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan bertahan cuma lima tahun sahaja di Putrajaya ekoran kurangnya persefahaman dalam kalangan komponen parti.
Tegas Muhyiddin, PH mempunyai kekuatan yang jauh lebih utuh berbanding dengan pembangkang, terutamanya UMNO yang kini sudah berpecah.
“Di mana UMNO sekarang? Di mana Barisan Nasional sekarang? Tinggal nama sahaja. Daripada berpuluh (parti komponen), dua, tiga sahaja yang tinggal. Itupun tidak bermaya,” katanya di ibu pejabat Bersatu pada Isnin.
Atas faktor itu, Muhyiddin yakin kemenangan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dijangka berpihak kepada PH jika pertembungannya nanti adalah antara PH dan UMNO bersama Pas.
TONTON: Bubarkan UMNO dan masuk Pas
Kenyataan Mohd Amar itu dibuat susulan amaran pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa DAP tidak teragak-agak untuk keluar daripada PH jika objektif Malaysia Baharu diketepikan.
Muhyiddin ditemui pada satu temu bual sempena perhimpunan agung kali kedua Bersatu yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dilaporkan, kira-kira 3,000 perwakilan daripada semua peringkat dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 sayap Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
#Barisan Nasional
#lima tahun
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Mohd Nik Amar Nik Abdullah
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#parti komponen
#PAS
#pembangkang
#Perdana Menteri
#persefahaman
#PPBM
#Putrajaya
#UMNO