Pas ajak UMNO bersatu bawah payung kesatuan
Sinar Harian
Jun 4, 2023 17:45 MYT
Jun 4, 2023 17:45 MYT
SHAH ALAM : Dewan Muslimat Pas mengajak UMNO untuk bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu dengan meletakkan asas kesatuan demi perpaduan ummah.
Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, tempoh selama lebih enam bulan sudah mencukupi bagi UMNO berada di bawah jajaran 'khemah besar' yang dilihat ternyata cantik di luar, namun penuh kekotoran di dalamnya.
Justeru beliau berkata, UMNO harus mengambil langkah berani untuk bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa dan negara.
"Kita menyeru pimpinan UMNO untuk kembali memegang prinsip perjuangan dan mengangkat wibawa kepimpinan ke tempat yang tinggi.
"Pemimpin UMNO tidak harus gadai maruah dan prinsip perjuangan semata-mata kerana jawatan yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan (PH)," katanya di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nuridah mendakwa kepimpinan UMNO seharusnya sedar biarpun memegang kuasa, namun tangan mereka diikat ketat oleh pimpinan parti lain dalam PH agar mengikut telunjuk mereka.
Ujarnya, semua perkara itu dapat dilihat dengan jelas sepanjang mereka berada dalam Kerajaan Perpaduan yang ada pada masa ini.
Nuridah menambah, sudah tiba masa ahli UMNO tidak membiarkan nasib diri mereka ditentukan oleh pimpinan parti tersebut yang bermasalah.
Beliau berkata, ini kerana pemimpin berkenaan sedaya upaya berusaha untuk melepaskan diri sendiri daripada masalah peribadi yang dihadapi.
Dalam pada itu, Nuridah berkata, UMNO harus sedar dalam kemelut negara sekarang yang dilanda krisis ekonomi teruk di mana nilai ringgit semakin jatuh malah kapitalis hanya berfikir untuk mengaut keuntungan semata-mata.
"Jadi pimpinan UMNO harus meletakkan sentimen peribadi ke tepi dan mengutamakan kepentingan rakyat berada di hadapan," jelasnya. - Sinar Harian