Pas ajak kumpulan Islam sertai PN
Astro Awani
April 2, 2021 13:01 MYT
April 2, 2021 13:01 MYT
KUALA LUMPUR: Pas mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, jemputan itu termasuk juga bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.
Katanya, parti itu menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional (MN) yang asal.
"Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.
"Pas menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.
"Pas menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa," katanya dalam catatan di laman Facebooknya pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya, Pas menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sepakat untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua-dua parti itu menegaskan, mereka juga menolak sebarang bentuk 'penjajaran baharu' untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.
Bersatu dan Pas juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti untuk menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi.
Dalam pada itu Abdul Hadi mengajak semua untuk bersama tawaran baharu yang berintegriti dan berkebajkan serta berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa.
Beliau turut meminta semua pihak menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa.
#PAS
#Pakatan Harapan
#Islam
#politik
#PRU
#Bersatu
#Abdul Hadi Awang
#PPBM
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#Malaysia
#PRU-15
#PRU15