Pas ada potensi besar ambil alih Kerajaan Persekutuan - Tuan Ibrahim
Ridauddin Daud
Oktober 22, 2023 13:02 MYT
Oktober 22, 2023 13:02 MYT
KUALA LUMPUR: Pas ada potensi besar untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan dan menambah penguasaan beberapa kerajaan negeri.
Keyakinan itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan, gelombang rakyat untuk melakukan perubahan semakin ketara.
Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata gelombangnya jelas namun parti kurang bersedia untuk menyokongnya.
Tegas beliau, perkara itu menyebabkan hasrat perubahan daripada rakyat tidak dapat disambut dengan baik oleh jentera parti.
“Selangor dan Negeri Sembilan bertuah kerana jentera luar datang membantu, memperkasakan kekuatan di semua kawasan kita bertanding.
“Maka, apa yang sedia ada perlu diperkasakan, dipertahankan. Insya-Allah kita penuh yakin, kita punya potensi besar untuk menawan Perak, Pahang, Selangor, dan tidak mustahil Negeri Sembilan pada masa depan.
“Insya-Allah, gelombang sokongan pada kita yang satu masa menjadi masalah besar khususnya kawasan Felda, hari ini Felda menjadi lubuk kita, di kawasan yang kita bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69, di Shah Alam pada Ahad.
Tambah beliau, Pas perlu memperkasakan parti, terutama di kawasan yang cawangannya masih lagi belum kuat.
“Kita perlu perkukuhkan muafakat politik dalam Perikatan Nasional (PN). Di peringkat kawasan perlu diperkukuhkan, diperkasakan agenda ini.
“Kita perlu memperbanyakkan cawangan gerak kerja parti sebab ini adalah asas. Bila kita nak pilih kerusi, kekuatan itu salah satu syarat yang perlu ada,” ujarnya.