Parti serpihan Melayu hanya jadi 'keldai politik' DAP - Syed Ali

Astro Awani
Mei 4, 2017 07:30 MYT
Rakyat perlu menolak fahaman politik yang dibawa DAP kerana ideologi tersebut hanya akan memudaratkan perpaduan nasional. - Gambar fail
Rakyat perlu menolak fahaman politik yang dibawa DAP kerana ideologi tersebut hanya akan memudaratkan perpaduan nasional dan tidak menjanjikan keharmornian kepada negara.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, DAP yang lahir daripada parti PAP sejak awal penubuhannya berteraskan kepada ideologi politik perkauman untuk meraih sokongan dan undi daripada bukan Melayu.
"Sehingga sekarang, DAP masih tebal dengan fahaman tersebut dan akan memainkan sentimen kaum dan agama apabila setiap kali berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU)," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
BACA: Muktamar Pas: DAP musuh lebih besar berbanding UMNO - Perwakilan
BACA: Kit Siang takut isytihar kedudukannya dalam Pakatan Harapan - Salleh
Syed Ali turut menyebut contoh bagaimana DAP hanya memusatkan undi mereka di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar yang majoritinya adalah pengundi Cina untuk kekal berkuasa.
"Parlimen Cheras adalah contoh terbaik di mana wakil rakyat DAP tidak akan ditolak oleh majoriti pengundi Cina walaupun Ahli Parlimen berkenaan tidak memberikan perkhidmatan kepada pengundi.
"Semua orang tahu Wakil Rakyat DAP di Cheras tidak pernah turun padang, tidak pernah ambil tahu masalah pengundi, tetapi dia tetap menang kerana kerana sentimen politik," tegasnya.
Menurut beliau lagi, kira-kira 85 peratus pengundi di Cheras adalah kaum Cina dan majorirti pengundi ini dilihat condong kepada pembangkang walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melakukan yang terbaik untuk mereka.
"Kita tidak tahu sampai bila sentimen ini akan berlarutan tetapi pada hemat saya ideologi politik tersebut tidak menjanjikan kedamaian kepada integrasi nasional," tegasnya.
Justeru, Syed Ali mencabar pemimpin politik DAP di seluruh negeri supaya bertanding di kawasan 50-50 pengundi Melayu dan Cina bagi membuktikan mereka tidak mengamalkan politik perkauman.
"Jika benar pemimpin DAP menolak amalan perkauman sepatutnya mereka sudah lama berpindah ke kawasan di mana pengundinya pelbagai kaum dan tidak dimonopoli oleh kaum Cina.
"Mengambil Cheras sebagai contoh, saya cabar Ahli Parlimennya, Tan Kok Wai bertanding di mana-mana kawasan di Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai majoriti pengundi Cina," tegasnya.
Beliau seterusnya menyelar pemimpin DAP yang sebelum ini menolak dakwaan banyak pihak bahawa parti itu membudayakan politik perkauman untuk kekal berkuasa.
"DAP kata mereka tidak buat begitu tetapi amalan politik mereka jelas bertentangan dengan aspirasi dan semangat perpaduan antara kaum di negara ini," tegasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mendedahkan, DAP tidak akan kekal berkuasa jika tidak mendapat bantuan politik daripada parti-parti serpihan Melayu.
"Oleh sebab itu DAP amat memerlukan sokongan daripada sekutu parti politik Melayu minoriti seperti PPBM, PKR dan AMANAH serta Pas.
"Bagaimanapun, Pas telah sedar mengenai taktik kotor DAP dan mengambil tindakan memutuskan sebarang bentuk kerjasama dengan DAP terutama menjelang PRU ke-14 akan datang.
"Parti serpihan Melayu yang sanggup bersekongkol dengan DAP sebagai petualang kepada orang Melayu dan seharusnya tidak dibenarkan bertapak di negara ini," ujarnya.
Beliau turut hairan bagaimana ada parti serpihan Melayu yang tergamak menjadi keldai politik DAP termasuk tergamak berpeluk tubuh bila DAP menghina orang Melayu.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak beranggapan mereka berada dalam zon selesa untuk berdepan dengan pihak pembangkang.
"Kita sedar rakyat terutama orang Melayu semakin memberikan sokongan padu kepada UMNO, tetapi itu bukan bermakna kita boleh bersikap sambil lewa.
"Ahli UMNO di semua peringkat perlu menyahut saranan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu UMNO diperkasakan setiap peringkat dan setiap masa.
"Orang Melayu di negara ini hanya mengharapkan kepada kekuatan UMNO untuk membela dan menjamin masa depan mereka," tegasnya.
Tanpa UMNO jelas Syed Ali, masa depan generasi muda Melayu akan kabur diwarnai oleh budaya politik perkauman seperti yang sedang dilakukan DAP sekarang.
#DAP #PAS #PKR #PRU #Syed Ali #UMNO