Parti 'semua kaum' adik Najib bakal temui kegagalan - Zainal Kling
Wan Syamsul Amly
Jun 17, 2015 14:00 MYT
Jun 17, 2015 14:00 MYT
Parti 'semua kaum' baharu yang dilapor akan ditubuhkan adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak disifatkan bakal menemui kegagalan kerana senario parti negara selama ini hanya tertumpu kepada kepentingan kaum-kaum tertentu.
Profesor Pusat Pengajian kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata, cubaan beberapa parti termasuk yang terbaru daripada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dilihat akan menemui kegagalan pada akhirnya.
"Cubaan PKR gagal, Ikatan juga gagal, sama juga kegagalan yang akan dihadapi oleh parti baharu Nazir dan dikatakan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah nanti.
"Belum masa negara menerima parti yang mengamalkan keterbukaan kaum, bukan sekarang. Jadi mereka yang berkenaan untuk berhadapan risiko gagal adalah tinggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Zainal mengulas laporan portal berita Asia Sentinel tentang penubuhan parti politik semua kaum oleh Nazir.
Nazir yang juga pengerusi CIMB Group juga dikatakan sudah bertemu beberapa tokoh perniagaan di United Kingdom dan Kuala Lumpur bagi membincangkan rancangan itu dalam usaha menamatkan 'politik perkauman yang memecah belah.'
Dalam pada itu, kata Dr Zainal, negara mungkin memerlukan sebuah parti yang terbuka kepada semua kaum, namun tidak untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.
"Usaha sekarang sudah ada, beberapa parti baharu ini buktinya, namun belum masanya.
"Parti di negara kita masih berasaskan struktur Malayu, Cina dan India secara khususnya. Parti ideologi belum boleh berlaku di negara ini," katanya.
Katanya lagi, kekuatan Nazir dan Saifuddin masih belum cukup kuat untuk berkecimpung dalam dunia politik.
"Nazir sendiri tidak ada pengikut, dia bukan orang politik. Saifuddin sendiri gagal di Temerloh semasa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini," jelasnya.
Hasrat menubuhkan parti baharu turut diungkap bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama barisan kepimpinan yang tewas pada pemilihan parti baru-baru ini.
Ia susulan kata putus DAP pada Selasa yang mengumumkan menerima keputusan Muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan mereka dalam Pakatan Rakyat.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha berkata perbezaan ideologi politik di antara parti PAS dan DAP yang amat ketara menjadi punca ketidaksefahaman di antara mereka.
Katanya, ikatan terdahulu hanya bersifat sementara dan menunggu masa sahaja untuk terlerai.