Parti Rakyat Malaysia tidak gentar cabar Anwar di Port Dickson

Dewi Nur Harasha Alias
September 21, 2018 16:41 MYT
PRM yakin rakyat di kawasan itu akan memberi sokongan kepada parti tersebut.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) tidak gentar untuk mencabar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihanraya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini.
Presiden PRM, Mohd Hashim Saaludin berkata, pihaknya yakin rakyat di kawasan itu akan memberi sokongan kepada parti tersebut.
Katanya, soal menang atau kalah tidak menjadi keutamaan PRM sebaliknya misi penting bertanding di PRK Port Dickson demi menyuarakan masalah rakyat.
"Nampaknya kalau menang atau kalah kita tetap menjadi pembangkang yang bermaruah kerana mempertahankan hak rakyat. Ini merupakan peranan kita sebagai semak dan imbang," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Tambah Mohd Hashim, sebab utama poarti itu mahu bertanding pada PRK Port Dickson adalah kerana mahu membangkitkan isu rakyat selepas kecewa dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan manifesto pada PRU14.
Ujarnya, parti itu akan bermesyuarat terlebih dahulu bersama jawatankuasa parti bagi menentukan calon yang akan bertanding pada PRK itu nanti.
"Kami sudah ada tiga calon yang berkaliber tetapi buat masa ini kami akan umumkan dalam waktu terdekat," katanya.
#Anwar Ibrahim #cabar #Parti Rakyat Malaysia #PKR #PRK Port Dickson #PRM
;