Parti Putra dilancarkan bulan depan
Bernama
Ogos 24, 2019 21:14 MYT
Ogos 24, 2019 21:14 MYT
Pelancaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)dijadual berlangsung di Kampung Baru di sini pada 28 Sept.
Presiden penajanya, Datuk Ibrahim Ali berkata ia akan turut menggariskan manifesto dan dasar perjuangan parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata setakat ini 111 bahagian parti telah ditubuhkan.
"Kita tidak menghadapi banyak kerumitan kerana ada yang menawarkan diri menjadi pemimpin di peringkat akar umbi, dan kebanyakan yang menyertainya adalah golongan muda dan yang tidak berparti," katanya pada sidang media hari ini.
Ibrahim mengumumkan penubuhan parti itu pada 17 Ogos tahun lepas, dengan membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA