Parti pembangkang seperti 'rumah tumpangan' - Syed Ali
Astro Awani
Disember 31, 2016 18:10 MYT
Disember 31, 2016 18:10 MYT
Kejujuran politik di kalangan pemimpin parti pembangkang yang kononnya mengutamakan kepentingan rakyat sudah boleh dinilai sekarang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ini kerana di kalangan mereka masing-masing menyerlahkan keinginan menggunung untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Walaupun impian tersebut seperti angan-angan Mat Jenin, tanpa malu mereka mula bergaduh sesama sendiri berebutkan kerusi nombor satu itu.
"Pada hemat saya, percakaran itu memberi peluang dan ruang kepada rakyat untuk berfikir apakah sebenarnya matlamat perjuangan di kalangan pemimpin parti pembangkang.
"Rakyat sebenarnya tidak bodoh untuk mengiyakan apa sahaja diperkatakan pembangkang yang sering memburukkan pentadbiran Najib dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Belum apa-apa lagi tegas Syed Ali, di kalangan pembangkang sudah bergasak sesama sendiri sehingga ada dakwaan sudah termeterai pakatan sulit menamakan tokoh tertentu sebagai bakal Perdana Menteri.
"Pakatan sulit itu sudah semestinya akan membabitkan dua parti dan sudah semestinya juga parti yang satu lagi yang bergabung dalam Pakatan Harapan akan dirundung malang.
"Ini bermakna mereka yang menganggotai Pakatan Harapan sebenarnya tidak jujur. Tidak jujur kepada regu mereka sendiri dan tidak jujur kepada rakyat jelata.
"Malah, ada di kalangan mereka menjadikan parti pembangkang sebagai 'rumah tumpangan'. Sekejap masuk dan sekejap keluar parti," jelasnya.
Dalam pada itu Syed Ali memberitahu tidak mengetahui apa motifnya perkara itu berlaku.
"Tetapi lazimnnya apabila menginap di rumah tumpangan sekadar untuk bermalam dua atau tiga hari. Mandi, tidur dan tukar baju dan selepas itu angkat kaki.
"Jika parti politik politik hanya dijadikan sebagai transit melepaskan lelah, bermakna parti itu tidak berwibawa dan tidak memiliki hala tuju.
"Bagaimana parti politik seumpama 'rumah tumpangan' itu hendak diberikan kepercayaan mentadbir negara seperti Malaysia yang semakin pesat membangun ini? Pada saya, negara pasti akan runtuh dibuatnya," tegasnya.
Tambahnya, sesiapa yang terpedaya atau menyokong parti sedemikian rupa hanya akan menempa kerugian dan memikul aib kerana pasti akan ditertawakan orang ramai.
"Gelagat sedemikian bukan menggambarkan sikap sebenar seorang pemimpin politik yang jujur, berjiwa murni dan ikhlas kepada perjuangan.
"Rakyat kena berfikir semasak-masaknya sebelum memberi kepercayaan kepada mereka kerana jenis pemimpin seperti ini hanya akan melakukan khianat terhadap kepercayaan tersebut.
"Oleh sebab itu,saya selalu menegaskan, pemimpin yang khianat kepada perjuangan sebenarnya tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin, apatah lagi untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri," ujarnya.
Syed Ali mengibaratkan pemimpin parti pembangkang seperti mereka yang tidak tahu malu kerana awal-awal lagi sudah berebut untuk menjadi Perdana Menteri.
"Biarlah mereka seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Jadi, selama ini mereka hanya bermain dengan cerita dusta dan pembohongan yang amat ketara.
"Untuk menutup cerita dusta itu, mereka menyerang UMNO tanpa asas dan fakta. Penyerang UMNO sekadar mengutip fakta dan maklumat menerusi alam maya yang tidak menjanjikan kesahihan kebenarannya untuk mencerca UMNO dan Najib khususnya.
"Faktar yang samar-samar mereka autakan sebagai benar dan dengan kemahiran logik akal, pembangkang membebankan apa juga kesalahan ke atas bahu Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO," jelasnya.
Katanya lagi, rakyat saban hari disogokkan dengan maklumat dan berita tidak benar termasuk beberapa isu membabitkan kepentingan rakyat.
"Najib yang juga Presiden UMNO telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara walaupun dihimpit oleh tekanan dalam dan luar termasuk isu global yang tidak menentu," ujarnya.
Ketika mengulas mengenai soal PRU akan datang, Syed Ali menjangka gabungan pembangkang tidak berupaya untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Memang, mereka beria-ia untuk mempertahankan Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang, tetapi jika dilihat percakaran antara mereka, tidak mustahil BN akan melakukan kejutan.
"Begitu juga di Wilayah Persekutuan, walaupun pada PRU yang lalu BN kehilangan beberapa kerusi Parlimen, tetapi jika diambilkira keluhan warga kota, BN kini tidak berdepan dengan jalan berliku.
"Kita yakin, BN khususnya UMNO akan berjuang habis-habisan kali ini kerana kita tidak mahu warga kota terus tertipu dengan janji-janji kosong pembangkang," katanya.
Jelasnya lagi, bermula 2017, pihaknya akan mengharungi tahun dengan penuh cabaran dan dugaan yang barangkali getir atau barangkali juga lebih selesa berbanding 2016.
"Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah serta segala kekuatan dalam mempertahankan negara demi kepentingan seluruh rakyat.
"Sepanjang 365 hari itu juga, kita di pihak UMNO perlu bekerja keras kerana PRU kemungkinan boleh berlaku bila-bila masa sahaja," katanya.