Parti pembangkang di Sabah, Sarawak boleh guna logo sendiri pada PRU15 - Guan Eng

Astro Awani
September 3, 2021 00:40 MYT
Panelis yang terlibat dalam webinar Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH adalah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu. -Gambar Facebook UPKO Malaysia
KUALA LUMPUR : Parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) boleh menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, parti-parti terbabit boleh berbuat demikian tanpa menggunakan logo rasmi PH.
Katanya, ia termasuk parti komponen baharu PH iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
“Keputusan tentang logo tidak merangkumi Sabah dan Sarawak sebab ada autonomi (dalam membuat keputusan).
“Perkara ini akan diputuskan oleh parti Sabah dan Sarawak sendiri (sama ada menggunakan logo parti masing-masing),” katanya ketika webinar bertajuk Peneraju Perjuangan Rakyat: Kebersamaan UPKO Dalam Perjuangan PH di laman Facebook UPKO pada Jumaat malam.
Webinar berkenaan turut disertai Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpandangan, adalah lebih baik setiap parti politik yang sehaluan bersepakat menggunakan satu logo sahaja pada PRU-15.
“Ini terbukti berkesan dari bertanding dalam kelompok berasingan yang mungkin juga akan mengelirukan pengundi.
“Pembangkang mestilah ada kesepakatan dan ini juga telah dipersetujui dalam deklarasi yang dilakukan di Port Dickson sebelum ini. Bukan PH sahaja tetapi semua pembangkang. Kalau berpecah ia hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.
#Lim Guan Eng #PRU15 #parti sabah dan sarawak #logo
;