Parti Pejuang Dr Mahathir diberi kebenaran buat semakan kehakiman
Astro Awani
April 1, 2021 12:56 MYT
April 1, 2021 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan memulakan semakan kehakiman bagi menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendaftarkannya sebagai parti politik.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan semakan kehakiman berkenaan.
"Saya menyatakan di mahkamah bahawa kerana tidak ada keberatan oleh AGC mengenai (terhadap permohonan kebenaran)," katanya hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 15 April nanti untuk mendengar merit penghujahan berhubung semakan kehakiman berkenaan.
Sebelum ini, Pejuang membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terhadap keputusan RoS yang menolak permohonan pendaftaran mereka pada 6 Jan lalu.
Pada Disember lalu, Pejuang memohon semakan kehakiman untuk memaksa RoS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu.
Bagaimanapun, permohonan itu ditarik balik selepas RoS mengumumkan menolak permohonan pendaftaran mereka.
Pejuang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu selepas Mahathir dan beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat dari parti itu kerana memilih untuk duduk di bahagian pembangkang ketika sidang Parlimen.
Dalam semakan kehakiman kali ini, Pejuang antara lain memohon perintah agar Hamzah mengarahkan RoS untuk memuktamadkan pendaftarannya sebagai parti politik, dalam masa tujuh hari selepas mahkamah membuat keputusan.
#Mahkamah Tinggi
#semakan
#kehakiman
#Parti Pejuang Tanah Air
#Pejuang
#Mahathir Mohamad
#Mukhriz Mahathir