Parti MUDA: Ujikaji politik atau klon PKR 2.0?
Kenyataan Media
Februari 13, 2022 20:40 MYT
Februari 13, 2022 20:40 MYT
PENGUMUMAN Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan suatu yang mengejutkan. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah pernah bersama PH, di bawah bendera Bersatu yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. PH mengandungi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah telah menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, 2018.
Tambahan pula parti MUDA yang ditubuhkan pada 17 September 2020 telah didaftar secara rasmi pada 23 Disember 2021, masih ‘lembut ubun-ubunnya’ perlu digendong dan membesar di bawah ketiak satu parti yang lebih besar dan berpengalaman. MUDA telah pilih PH jadi ‘penaung politik’ sebagai satu ujikaji dari dua segi. Pertama, di pihak MUDA ia perlu pengalaman meluaskan usaha mencari pengaruh melalui mobilasi penyokong baru khususnya di luar bandar. Kedua, di pihak PH, melalui MUDA ianya akan menguji sama ada PH ada lagi sokongan atau tidak menjelang PRU15, terutama dari golongan belia. Sebagai satu usaha ujikaji gabungan PH dan MUDA, ia boleh dilihat sebagai gabungan ‘menang-menang.’
MUDA bersedia menjadi bahan ujikaji PH untuk melihat sejauh mana impak pengundi belia atau Undi18 diterima oleh pengundi-pengundi dalam PRU Negeri Johor. Strategi ini baik untuk PH memerhati pendekatan yang sesuai, bersasar dan tepat sebagai persediaan menghadapi PRU15 dalam masa yang terdekat ini.
Dalam promosinya di Internet dicatatkan bahawa MUDA mendukung ideologi populisme, multiracialism (kepelbagaian kaum), dan sekularisme. Bagi idealogi populism, ia meletakkan sandaran utama adalah rakyat, sementara multiracialism mendukung kepelbagaian kaum, dan sekularisme ialah doktrin yang memisahkan agama dari urusan negara. Ini berlaku di Barat pada kurun ke-17 apabila Gereja dipisahkan dari negara, dan negara menjadi kuasa pemerintahan sepenuhnya berasaskan sekularisme. Kalau MUDA mendukung sekularisme, apakah beza kedudukannya dengan DAP yang terus menerus mempersoalkan kedudukan Islam dan fungsi Islam dalam Perlembagaan? Apakah ini satu ujikaji memancing undi untuk menyesuaikan kehendak bakal ahli MUDA yang bukan Islam?
MUDA juga boleh dilihat sebagai klon PKR, atau PKR2.0, kerana membuka keahlian kepada semua kaum dengan meletakkan kepimpinan Melayu sebagai pemimpin utama. Cumanya matlamat utama PKR ditubuhkan adalah demi pembebasan Anwar Ibrahim dan mendukung beliau sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri Malaysia. Cita-cita itu masih belum berjaya dilunaskan. MUDA tidak menunjukkan aspirasi jangka panjangnya. Setakat ini MUDA masih pakai barut dan baru belajar bertatih, belum bisa berlari lagi.
Istilah MUDA jika diperhatikan dari sudut ilmu ‘developmental psychology,’ atau psikologi pembangunan, terikat kepada pengalaman Eropah. Dianjur dan digunakan kategori kohot umur berikut: Bayi (0-1 tahun); Toddler (2-4); Kanak-kanak (5-12); Remaja (13-19); Dewasa (20-29); Dewasa Pertengahan (40-59); Dewasa Emas (60 ke atas). Eropah menggunakan kategori kohot umur ini untuk pembangunan ekonomi dan politik moden semenjak kira-kira 300 tahun lalu.
Syarikat penjual mainan kanak-kanak yang sedia ada di Malaysia menggunakan kategori kohot umur ini untuk mengkategorikan jenis-jenis permainan yang mereka pasarkan sesuai dengan ciri-ciri umur berkenaan. Pastinya permainan ‘bayi’ berbeza dengan ‘remaja.’ Kategori kohot umur ini walau digunakan diseluruh dunia, tetapi penggunaannya tidak tepat dalam semua kes.
Sesiapa yang mengikuti konflik politik dan kaum di Afrika, seperti di Burundi, Burkina Faso, Cameroon, Congo, Mali dan Sudan, pasti tahu bahawa ‘kanak-kanak’ dan ‘remaja,’ sudah berjinak dengan alat permainan bukan dijual di Toys"R"Us tetapi dalam bentuk senjata api haram yang diguna dalam pertarungan politik ganas. Kanak-kanak dan remaja adalah soldadu revolusi bukan ahli parti politik seperti parti MUDA.
Dilihat dari sisi ini, parti MUDA memberikan imej ‘specific’ atau khusus yang menghadkan penyertaan ahli, dan kumpulan pengundi tanpa disedari. MUDA seolah-olah menafikan kerencaman di kalangan belia dan pemuda di Malaysia, yang berbeza. MUDA melupakan orientasi pendidikan, didikan keluarga, rakan sebaya, kelas sosial, dan sebagainya. Golongan belia tidak boleh diandaikan bersifat homogen, atau homogenous.
Belia juga mempunyai tingkah laku yang rencam. Sifat kerencaman, atau ‘heterogen’, ini mungkin menghambat lebih 750 ribu pengundi baru dan Undi18 dari memilih MUDA dalam Pilihan Raya Umum Negeri Johor yang akan berlangsung pada bulan Mac 2022 ini.
Pengundi di Malaysia telah terbiasa dengan parti-parti politik yang sedia ada dari dulu hingga kini seperti BN (sebelum dan selepas merdeka), PH (berubah dari Pakatan Rakyat (PR) ke Pakatan Harapan selepas persidangan meja bulat kepembangkangan pada 2015 melihat PR tidak lagi berkesan). Kini, kerancakan demokrasi dan partisipasi memperlihatkan beberapa parti serpihan muncul seperti Bersatu, Amanah, dan parti baru seperti Pejuang, MUDA, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Parti Warisan pula telah mula membuka cawangan di Semenanjung dan perlu berjuang keras untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan di luar dari kotak kepentingan Sabah semata-mata.
Nasib parti serpihan seperti Bersatu dan Amanah ibarat ‘untung sabut timbul’ kerana belum cukup membumi dan kekurangan dari segi jentera parti di akar umbi untuk bergerak mendapatkan sokongan rakyat apatah lagi faktor kewangan menjadi asbab untuk terus bergantung kepada jentera parti lain untuk terus hidup, seperti Amanah yang mengharapkan bantuan DAP dan PKR; atau Bersatu yang mengharapkan UMNO-BN untuk mengukuh. Pejuang pula, selepas Tun Mahathir keluar dari Bersatu, ahlinya boleh dibilang dengan jari. PBM pula nama asalnya ialah Sarawak Workers Party (Parti Buruh Sarawak) dan Presidennya ialah Larry Sng Wei Shien sudah pasti sukar untuk memposisikan parti dalam percaturan dan persaingan politik di Semenanjung. Kerancakan ini menjadikan PRU Negeri Johor sebagai salah satu petunjuk menilai sejauh mana jangka hayat parti-parti kecil ini.
Sementara MUDA yang berpaut dengan DAP, kewangan MUDA mungkin terbantu dan dapat bertahan. MUDA boleh menggunakan jentera parti DAP-PH untuk berkempen.
Buat masa ini jika ditanya kepada rakyat Malaysia mahupun pengundi Johor, siapakah pemimpin dalam MUDA yang anda kenal selain Syed Saddiq? Jika jawapannya mengambil masa lebih dari 30 saat, MUDA berdepan dengan cabaran besar untuk meraih undi pengundi Johor yang rata-rata telah lama terdedah dengan sayap Pemuda dan Puteri UMNO yang aktif bersama rakyat dengan berzanji dan berzapin dari Felda hingga ibukota Johor Baharu. Tambahan pula, Syed Saddiq berdepan dengan pertuduhan salah guna wang mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Langkah MUDA mungkin ibarat kuda kepang yang tempang di Johor.
MUDA harus bijak memilih agenda untuk menyakinkan semua peringkat usia pengundi merentasi pelbagai etnik tanpa memilih hanya belia. MUDA mungkin secara beransur boleh mengukuh dan gagah dengan kepantasan teknologi melalui media sosial untuk menanamkan bibit-bibit kepercayaan kepada pengundi. MUDA juga harus gigih menzahirkan usaha memupuk perpaduan sebagai teras memimpin negara dan menjaga kebajikan belia kini yang tidak muda selamanya. Perjalanan politik MUDA masih jauh, apa yang penting MUDA harus bersedia menerima apa jua nasib hasil ujikaji di PRU Negeri Johor dan tidak tersungkur dalam kecanggihan teknologi ‘smart phone’ dengan idealismenya.
MUDA perlu setidak-tidaknya dua lagi PRU sebelum boleh main politik di Liga Premier parti politik Malaysia!
Oleh Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.