Parti Melayu tolong berhenti berebut kuasa dan jawatan - PAMJ
Astro Awani
Mei 10, 2020 15:45 MYT
Mei 10, 2020 15:45 MYT
Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ) mendesak semua parti serta pemimpin politik Melayu bersepakat sekali gus berhenti berebut kuasa dan jawatan.
Presidennya Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee sebaliknya meminta mereka segera memajukan negara dan rakyat negara ini.
“Rakyat sudah muak dengan adu domba politik dan perebutan jawatan antara parti-parti Melayu.
“Malulah sikit dengan rakyat terutamanya orang Melayu. Jangan kita nanti menang sorak kampung tergadai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Menurut Syed Hussein, pemimpin sepatutnya bersama-sama membantu rakyat menghadapi pandemik COVID-19 yang telah membunuh ratusan ribu manusia di seluruh dunia.
Katanya, pemimpin di Johor pula diminta mengambil kesempatan untuk menjadikan negeri itu sebagai kuasa ekonomi di sebalik kekalutan COVID-19.
”Jadilah pemimpin bangsa Johor yang lebih berintegriti dan menangani permasalahan negeri dengan tuntas khususnya dari segi menyelesaikan masaalah sosio ekonomi rakyat.
“Matlamat memangkin ekonomi dan memakmurkan rakyat harus dititikberatkan berbanding kepentingan politik individu dan ianya akan menjadi cerminan kepada kebanggaan kepimpinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai nadi bangsa Johor,” katanya lagi.
Tegasnya, mana-mana pemimpin politik negeri itu juga dinasihati tidak sesekali mencabar kuasa Sultan Johor.
“Kita bangsa Johor amat beruntung mempunyai seorang Sultan yang bijaksana, marilah kita bersama-sama dengan Sultan Johor membangunkan negeri sebagai satu kuasa ekonomi yang terkuat di rantau ini,” katanya.
Beliau yang juga bekas diplomat berkata, semua pihak perlu sedar proses penggantian kepimpinan ini seringkali menimbulkan konflik dan polemik apabila ada keinginan untuk menunjukkan wujudnya demokrasi.
Jelasnya, dasar demokrasi adalah satu unsur keterbukaan.
Namun, unsur keterbukaan ini secara tidak langsung tidak mempertahankan suara minoriti.
“Sejak dari 2018, Johor telah menyaksikan tiga pertukaran Menteri Besar. Perebutan dan pertelingkahan merebut kuasa berlaku antara parti-parti Melayu adalah amat malang sekali dan ianya berlaku di Johor.
“Johor sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain dalam konteks kestabilan politik dan pembangunan ekonomi,” ujarnya.
Syed Hussein turut mengingatkan ahli-ahli politik bahawa Sultan Johor mengikuti perkembangan itu dengan serius serta bijaksana.
Tegasnya, semua parti politik dan pemimpin Johor juga diminta tidak sama sekali mengetepikan Undang Undang Tubuh Negeri Johor kerana Sultan Johor mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa.
“Sultan Johor berkuasa membubarkan DUN Johor mengikut Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Keangkuhan pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti telah merencatkan kelancaran pertumbuhan ekonomi negeri dan ekoran dari itu rakyat yang akan rugi.
“Kita minta semua pemimpin politik supaya tidak membelakangkan kepercayaan yang diberi Sultan Johor dan seharusnya bangga kerana mempunyai Sultan yang berjiwa rakyat, dihormati oleh pemimpin dan pelabur antarabangsa,” katanya.
Syed Hussein turut berharap, kumpulan yang bertelagah untuk duduk semeja dalam usha menyelesaikan kemelut yang berlaku sekarang.
“Awas, jangan sampai Sultan Johor yang bersifat lebih mementingkan rakyat menggunakan kuasa Baginda untuk membubarkan DUN,” tegasnya.
#COVID-19
#ekonomi
#Johor
#kerajaan
#Melayu
#menteri
#Menteri Besar
#politik
#rakyat
#Sultan Johor
#undang-undang