Parti komponen BN sahut gendang perang UMNO hadapi PRU

Bernama
Disember 1, 2016 16:27 MYT
LIOW: "BN tidak boleh berjalan sendiri, sebagai parti komponen BN, kita perlu bekerjasama dalam memobilisasikan anggota parti, menyediakan bahan kempen dan memenangi peperangan di media sosial." - fotoBERNAMA
Parti komponen Barisan Nasional (BN) akan bersiap siaga menyahut gendang perang yang dipalu UMNO untuk bersatu merapatkan barisan bagi menghadapi dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bermula hari ini kesemua parti komponen harus bersiap sedia dalam pelbagai aspek bagi memastikan BN terus meraih kepercayaan rakyat dan kekal menerajui negara.
"BN tidak boleh berjalan sendiri, sebagai parti komponen BN, kita perlu bekerjasama dalam memobilisasikan anggota parti, menyediakan bahan kempen dan memenangi peperangan di media sosial.
"Kita dapat lihat semangat gelombang biru yang cukup kuat dalam dewan tadi, ini akan memberi semangat awal supaya gelombang biru ini dapat membakar semangat anggota UMNO dan komponen parti yang lain supaya bekerja lebih kuat," katanya ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Anggota Parlimen Bentong itu adalah antara pemimpin politik yang dijemput menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung UMNO.
Sementara itu, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas berkata walaupun tarikh pilihan raya umum masih belum diketahui, namun parti komponen perlu memulakan persiapan mulai sekarang kerana ia boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Katanya BN perlu mencari pendekatan luar kotak bagi menyelesaikan masalah rakyat dan harus rajin serta bersungguh-sungguh turun ke padang.
"Kita boleh dengar daripada ucapan beliau (Najib), isyarat jelas diberikan mengenai pilihan raya, oleh itu jika BN berhasrat untuk memenangi lebih banyak kerusi, kita perlu bermula sekarang.
"Saya juga ingin mengingatkan kesemua anggota komponen BN agar tidak terpengaruh dengan kewujudan parti baharu dan tertipu dengan perkara yang dibawa oleh mereka, parti baharu ini tidak akan mampu kekal lama seperti BN," katanya. -- Bernama
#Barisan Nasional #Liow Tiong Lai #M. Kayveas #MCA #parti komponen #Pilihan Raya Umum ke-14 #PPP #PRU14
;