Parti Gerakan mulakan jentera untuk PRU mengejut
Bernama
Jun 20, 2020 15:47 MYT
Jun 20, 2020 15:47 MYT
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggerakkan jenteranya bermula hari ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) secara mengejut pada tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya telah mengarahkan semua pengerusi perhubungan negeri untuk melakukan persiapan itu susulan melihat situasi politik yang genting buat masa ini.
"Kami meramalkan kemungkinan PRU mengejut akan diadakan pada bulan September ini, oleh itu kami sudah menggerakkan jentera bermula hari ini dengan Pulau Pinang sebagai 'front state' bagi parti itu untuk PRU itu.
"Namun, sebarang keputusan untuk pengagihan calon dan kerusi akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pada minggu hadapan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan di sini, hari ini.
Pihaknya menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan dan menolak perebutan kuasa yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
"Bagi parti Gerakan, kemampuan selesaikan pelbagai isu negara adalah penting daripada siapa yang akan jadi PM pada masa hadapan, oleh itu sokongan kami tetap terhadap Tan Sri Muhyiddin," katanya.
Pihaknya juga telah melantik lima jurucakap dalam lima bidang berlainan yang dinamakan 5E iaitu Education (Pendidikan), Environment (Alam Sekitar), Economy (Ekonomi), Equality (Persamaan) dan Employment (Pekerjaan) untuk separuh kedua tahun ini.
"Ia juga sebagai menyatakan pendirian parti terhadap isu-isu yang diutarakan selain sebagai 'check and balance' kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#calon
#GERAKAN
#Malaysia
#menteri
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#pilihan raya mengejut
#pilihan raya umum
#PRU
#rakyat Malaysia