Parti Bersatu: Apa yang kita tahu setakat ini

Tan Su Lin
Ogos 23, 2016 09:29 MYT
Muhyiddin (tiga,kiri) bersama-sama dengan penyokong parti Bersatu di pejabat RoS, Putrajaya pada 9 Ogos lalu. - Gambar fail
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengadakan satu sidang media buat pertama kalinya sejak permohonan daftar parti kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 9 Ogos lalu.
Sidang media berkenaan adalah untuk memberi penerangan tentang prinsip dan keahlian parti.
Berikut adalah apa yang kita ketahui sehingga kini mengenai Parti Bersatu:
Status parti
Bersatu masih dalam proses mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas presiden penaja, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti itu di pejabat RoS, Putrajaya pada 9 Ogos lalu.
Asas penubuhan parti
Bersatu antara lain ditubuhkan untuk memberi perhatian kepada reformasi institusi untuk mengembalikan integriti dalam pentadbiran negara, dan mengembalikan semula demokrasi dan kedaulatan undang-undang serta memuliakan pemisahan kuasa antara Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman.
Keahlian parti
Keahlian parti terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Ia terbahagi kepada dua kategori: Ahli Biasa (untuk Pribumi) dan Ahli Bersekutu (untuk bukan Pribumi). Ahli Bersekutu mempunyai hak yang sama dengan ahli biasa kecuali mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti
Tempoh jawatan Pengerusi dan Presiden parti
Pengerusi dan Presiden parti tidak boleh pegang jawatan masing-masing lebih daripada tiga penggal.
Had umur Pemuda
Had umur bagi Pemuda adalah 35 tahun, satu langkah 'peremajaan parti' serta membuka peluang kepada golongan muda melakukan perubahan
Siapakah ahli jawatankuasa penaja parti?
Selain Muhyiddin, jawatankuasa penaja parti itu adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah.
Selain itu, bekas pemimpin Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin; Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Kamarul Azman Habibur Rahman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi iaitu anak lelaki bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid dan Syed Saddiq Abdul Rahman turut menjawat jawatankuasa parti berkenaan.
Pemimpin parti
Muhyiddin berperanan sebagai presiden parti, manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi
#Dr Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Pendaftar Pertubuhan #ros
;