Parti belia: Jangan wujudkan lebih banyak pecah-belah - Rafidah
Bernama
September 4, 2020 08:32 MYT
September 4, 2020 08:32 MYT
Jangan wujudkan lebih banyak pecah-belah di negara kerana sudah berlaku banyak pecah-belah, demikian kata ahli politik veteran Tan Sri Rafidah Aziz berhubung cadangan untuk menubuhkan parti belia.
Beliau berkata sudah cukup pecah-belah yang berlaku dan tiba-tiba "semua orang berkata, anda seorang wanita, atau seorang lelaki, Melayu, Cina, Kristian, Islam, Buddha atau Hindu".
"Anda tahu ia memecah-belahkan kita? Sudah berlaku pecah-belah, sekarang ia adalah 'anda sudah tua, anda masih muda... adakah masih tidak cukup lagi pecah-belah yang berlaku di negara ini?" katanya mengulas kenyataan bekas Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang diterajui belia.
Ditanya sama ada parti belia yang akan ditubuhkan Syed Saddiq adalah bagus untuk negara, Rafidah ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah pada "Dialog Kepimpinan: Hala Tuju Malaysia" pada Forum Pencegahan Rasuah Malaysia di sini pada Khamis, berkata: "Anda tidak sepatutnya memulakan lebih banyak pecah-belah."
Rafidah turut berkongi pengalamannya sebagai Senator paling muda pada usia 30 tahun dengan proses pembelajaran beliau dalam dunia politik adalah daripada kalangan mereka yang berpengalaman dalam politik.
"Tidak kira berapa banyak ijazah yang anda ada, pengalaman lebih penting. Saya mendapat pengalaman daripada mereka yang membina negara ini, bukan memusnahkannya," katanya.
-- BERNAMA
#parti belia
#parti orang muda
#parti politik baharu
#pecah-belah
#pengalaman
#politik
#proses pembelajaran
#Rafidah Aziz
#Syed Saddiq Abdul Rahman