Parti atau pengundi

Amerul Azry Abdul Aziz
Februari 24, 2021 08:30 MYT
Harapan rakyat adalah ahli-ahli Parlimen yang merupakan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat akan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi ataupun politik.
PILIHAN raya adalah asas utama di dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, di mana prinsip ‘kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’, secara dasarnya negara diperintah oleh rakyat sendiri.
Namun adalah mustahil untuk setiap rakyat untuk terlibat secara langsung dalam pembikinan undang-undang dan polisi negara.
Oleh yang demikian, rakyat perlu melantik sekumpulan warganegara yang mereka yakin boleh membawa suara dan inspirasi rakyat ke dalam Dewan Rakyat bagi mewujudkan undang-undang dan polisi yang memberi manfaat dan nilai di dalam kehidupan rakyat keseluruhannya.
Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk melantik salah seorang daripada ahli Dewan Rakyat, yang pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri.
Seterusnya Perdana Menteri akan melantik di antara ahli-ahli Dewan untuk membentuk Jemaah Menteri bagi menjalankan urusan pentadbiran negara.
Adalah jelas, pelantikan Perdana Menteri dan menteri-menteri dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun peranan rakyat yang memilih untuk meletakkan seseorang itu di Parlimen adalah amat penting dan harus diberi perhatian yang serius oleh setiap warganegara Malaysia.
Sebarang kesilapan di dalam pemilihan calon dalam pilihan raya boleh membawa kesan yang harus ditanggung oleh setiap rakyat di negara ini kerana ahli-ahli Parlimen memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
Harapan rakyat adalah ahli-ahli Parlimen yang merupakan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat akan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi ataupun politik.
Malaysia telah melalui 14 pilihan raya umum semenjak merdeka dan kehadiran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) sedang hangat diperkatakan.
Sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini tidak banyak berubah semenjak pertama kali pilihan raya umum diadakan dalam tahun 1959 dan parti memerintah juga tidak berubah sehinggalah Barisan Nasional digantikan oleh Pakatan Harapan dalam PRU14 pada Mei 2018.
Ketiadaan perubahan parti memerintah memberi kestabilan politik kepada negara. Namun kestabilan itu juga menyebabkan rakyat kurang mempersoalkan peranan dan tugas wakil-wakil yang berada di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri yang pada dasarnya bertanggungan kepada rakyat yang memilih.
Dalam negara demokrasi yang matang, seperti United Kingdom dan Jerman, calon-calon yang bakal bertanding di dalam sesuatu pilihan raya dipilih oleh penyokong-penyokong parti politik di peringkat tempatan dan diperakui oleh parti-parti politik yang bertanding.
Ini menunjukkan sokongan dan perakuan rakyat tempatan adalah penting bagi memastikan kemenangan seseorang calon. Sebaliknya, hampir keseluruhan calon-calon di Malaysia ditentukan oleh pucuk pimpinan parti-parti politik dan bukannya rakyat tempatan.
Akibat daripada sistem dan budaya politik seperti ini, ahli-ahli yang terpilih akan lebih terhutang lebih kepada kepimpinan parti daripada pengundi-pengundi tempatan.
Apabila ahli-ahli Parlimen atau ADUN dikehendaki membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat, adakah wakil-wakil rakyat ini akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat yang sewajarnya atau mereka akan bergantung kepada arahan parti?
Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan tindakan-tindakan wakil rakyat, apakah remedi yang boleh digunakan oleh rakyat untuk memastikan ahli-ahli Parlimen dan ADUN bertindak mengikut mandat yang diberikan selain daripada membuat pilihan semula di dalam pilihan raya yang selanjutnya?
Perkara ini juga amat penting apabila seseorang wakil rakyat itu membuat keputusan untuk melompat parti kerana ia bertentangan dengan sokongan yang diperolehi wakil rakyat tersebut di dalam pilihan raya yang terdahulu.
Perlukah beliau mendapat mandat yang baru untuk memastikan beliau sebenarnya mewakili rakyat dan bukannya bertindak mengikut arahan parti politik atau kepentingan peribadi.
Para wakil rakyat, harus ingat bahawa wakil rakyat dipilih untuk membawa suara dan aspirasi rakyat untuk didengari di platform yang lebih besar demi kebaikan negara. Manakala rakyat harus berpegang kepada prinsip bahawa hak bersuara adalah suatu hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diambil oleh mana-mana pihak termasuk wakil rakyat, melainkan melalui proses undang-undang.
Adalah jelas bahawa ahli-ahli Dewan adalah wakil kepada rakyat yang seharusnya bertanggungjawab kepada rakyat dan bukannya kepada parti politik.

* Amerul Muner Mohammad merupakan mantan Ketua Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Parlimen #parti #rakyat #PRU15 #Yang di-Pertuan Agong #Malaysia #demokrasi #wakil rakyat #ahli Parlimen #ADUN #tanggungjawab
;