Parlimen pasca PRU14 refleksi pemilihan wakil rakyat berkualiti - Bastien
Astro Awani
April 6, 2018 11:21 MYT
April 6, 2018 11:21 MYT
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberi ruang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat terbaik sekali gus meningkatkan kualiti Parlimen negara.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn mendakwa situasi dan keadaan Parlimen pasca PRU14 merupakan refleksi kepada sentimen rakyat kepada corak kepemimpinan negara yang dipilih.
"Rakyat mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli Yang Berhormat bagi penggal 2013-2018 yang telah mengolah dan bertanggungjawab kepada semua undang-undang yang terbentuk sepanjang tempoh tahun tersebut.
"Sudah tentu ianya memberi makna sebenar kepada sistem berparlimen negara yang dibentuk melalui proses demokrasi yang subur di negara ini.
"Tanpa mereka, sudah tentu perjalanan pentadbiran negara tidak akan dapat diputuskan. Ahli Parlimen ini juga menjadi bukti penjalin kepada hubungan antara rakyat dan sebuah pentadbiran negara," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi Parlimen Ke-13 ditangguhkan pada Khamis bagi memberi laluan kepada PRU14 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Penangguhan itu diumumkan secara berasingan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia diikuti oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Dalam pada itu, Bastien mengharap lebih penglibatan anak muda di dalam persidangan Dewan Rakyat bagi penggal akan datang.
"Besarlah harapan ramai anak muda dan pewaris negara agar kualiti perbahasan dan lebih banyak rang undang-undang dapat diperkenalkan bagi menjamin Malaysia yang lebih progresif dan dinamik.
"Apa yang lebih menarik adalah untuk melihat keupayaan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai Ahli Parlimen daripada golongan muda yang sarat dengan idea dan cara pemikiran yang bernas
"Untuk menjadi Ahli Parlimen, selain daripada sokongan rakyat yang memilih, mereka juga perlu mempunyai idea dan keupayaan untuk berbahas," ujarnya.
Katanya lagi, rakyat seharusnya sedar bahawa calon yang dipilih akan menjadi wakil mereka ke Parlimen untuk sesi akan datang bagi membawa suara mereka.
"PRU14 akan menjadi medan pemilihan tersebut. Jika kamu mahukan pemimpin yang baik dan berupaya mewakili rakyat dengan berkesan, pastikan PRU14 adalah medannya.
"Rakyat tidak mahu Ahli Parlimen yang sekadar tahu mengejek dan bersorak sahaja.
"Begitu juga kepada Ahli Parlimen parti pembangkang yang banyak di kalangan mereka yang suka menabur fitnah tanpa bukti," jelasnya.
Tegas Bastien, situasi itu perlu dihentikan kerana pemilihan menjadi wakil rakyat di Parlimen bukan untuk mengelirukan masyarakat.
"Mereka mahukan wakil rakyat yang membawa pencerahan dan suara di dalam Dewan Rakyat," katanya.
Dewan Rakyat sebelum ini bersidang selama 20 hari mulai 5 Mac lalu sebelum sidang Dewan Negara dijalankan secara serentak bermula 26 Mac lalu.