Parlimen: MoU lembap, sengaja dilengahkan - Anwar

Hasimi Muhamad
Oktober 6, 2021 13:08 MYT
Anwar berkata Kerajaan Persekutuan seolah-olah sengaja melengahkan, selain menyifatkan kemajuan MoU sebagai lembap - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembangkang meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap kemajuan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai bersama Kerajaan pada 13 September lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan seolah-olah sengaja melengahkan, selain menyifatkan kemajuan MoU sebagai lembap.
Anwar (PH-Port Dickson) memberi reaksi kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang mengatakan MoU tersebut memberi kesan yang agak baik, termasuk meredakan suhu politik negara.
"Yang Berhormat (Mustapa) ada menyebut mengenai MoU untuk kestabilan politik, saya nak beritahu walaupun ada sedikit kemajuan, kemajuan itu sangat lemah sehinggakan reformasi Parlimen pun belum ada kejayaan apa-apa.
"Janji yang dibuat sudah melebihi satu bulan, dan tidak ada satu komitmen untuk melaksanakan, selain menguar-uarkan soal kestabilan politik," kata Anwar di Dewan Rakyat, pada Rabu.
MoU lembab, sengaja dilengahkan - Anwar Ibrahim
BACA: Lakar sejarah, enam perkara dimeterai dalam MoU kerajaan dan pembangkang
Kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah pada 13 September lalu apabila buat julung kalinya memeterai memorandum MoU, yang merangkumi enam perkara.
Ia melibatkanPemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Mengulas lanjut, Anwar mendakwa, beberapa langkah terhadap MoU itu juga dilihat bertentangan dengan semangat demokrasi, ketelusan dan semangat untuk bekerjasama, seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Jadi saya nak jelaskan kepada Yang Berhormat, untuk membetulkan kenyataan beliau bahawa (MoU) ada kemajuan (untuk) redakan politik, yang kami sokong pada peringkat awalnya.
"Tetapi saya nak nyatakan pada pada hari ini, kita tidak berpuas hati kerana lembap dan sengaja dilengahkan," katanya.
#Anwar Ibrahim #COVID-19 #MoU Kerajaan Persekutuan-PH #Dewan Rakyat
;