Parlimen bukan medan mengejek, contohi kematangan di Britain

Faida Rahim
Februari 14, 2023 16:57 MYT
Mazlan Ali, berkata rakyat juga meletakkan harapan agar Parlimen tidak lagi dijadikan medan ejek-mengejek atau merendahkan antara satu sama lain. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Rakyat mengharapkan ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan dan pembangkang menunjukkan kematangan yang tinggi dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung minggu ini.
Penganalisis politik, Mazlan Ali, berkata rakyat juga meletakkan harapan agar Parlimen tidak lagi dijadikan medan ejek-mengejek atau merendahkan antara satu sama lain.
“Kita tidak mahu Parlimen kita menjadi satu medan ejek-mengejek, satu medan untuk merendahkan antara satu sama lain. Ini bukan contoh yang baik. Kerajaan dan pembangkang mesti menerima pendapat dengan hati terbuka.
“Pembangkang mesti berniat untuk membangkang kerajaan pada posisi yang betul, tidak berniat semata-mata untuk merendahkan kerajaan dengan tujuan mencari alternatif untuk menggantikan kerajaan sedia ada,” katanya.
Mazlan ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu di Astro AWANI, memberi contoh situasi di Parlimen Britain yang disifatkan amat matang dan wajar dicontohi di negara ini.
“Seorang menteri Kabinet sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri kerana lewat hadir untuk menjawab soalan seorang ahli Parlimen biasa. Ini kematangan yang cukup tinggi di Parlimen Britain dan adakah Malaysia boleh mencapai tahap demikian?
“Sekiranya kita sudah mencapai sikap sedemikian, ini adalah petanda bahawa rakyat akhirnya akan mendapat manfaat daripada sistem yang kita praktikkan di Malaysia, demokrasi selama lima tahun yang memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, katanya titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah wajar dijunjung oleh semua pihak sama ada Kerajaan Perpaduan atau pembangkang yang didominasi oleh Perikatan Nasional.
“Dua-dua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang perlu memainkan peranan positif bersama. Kerajaan sebagai kerajaan dan pembangkang menjadi pembangkang yang efektif serta melakukan semak dan imbang kepada negara demi memperbaiki keadaan ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan negara,” katanya.
#Dewan Rakyat #Yang di-Pertuan Agong #Kerajaan Perpaduan #Dr Mazlan Ali
;