Parlimen bebas dari dipengaruhi kerajaan - Khaled Nordin

Muhafandi Muhamad
Julai 12, 2024 07:45 MYT
Institusi Parlimen mempunyai kedudukan tersendiri serta tidak dipengaruhi oleh kerajaan, sementara Speakernya boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan kuasa yang ada, kata Mohamed Khaled. - Gambar fail Bernama
MACHANG : Institusi Parlimen mempunyai kedudukan tersendiri serta tidak dipengaruhi oleh kerajaan, sementara Speakernya boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan kuasa yang ada, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Justeru, kata Naib Presiden UMNO itu, keputusan Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ada asasnya.
Sehubungan itu, tegas Mohamed Khaled, dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh yang mendakwa Akta Anti Lompat Parti hanya sia-sia merupakan pandangan peribadinya.
“Parlimen adalah satu institusi yang bebas, badan legislatif dengan Speakernya mempunyai kedudukan tersendiri yang boleh membuat keputusan sendiri dengan kuasa yang ada.
“Speaker (juga) telah menyatakan pendirian dan asasnya yang tidak didorong oleh pihak Kerajaan Perpaduan… itu hak Akmal untuk bagi pandangannya,” kata Khaled kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Machang, di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Akmal dalam hantaran di akaun Facebook peribadinya menulis: “Jangan marah rakyat jika mereka benci pada orang politik, selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik.”
Hantaran itu dibuat susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat memutuskan enam Ahli Parlimen Bersatu kekal sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka dalam parti sudah tergugur kerana memberi sokonga kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Mohamed Khaled, rakyat perlu memahami bahawa pindaan Perlembagaan yang dibuat parti Bersatu itu dibuat dengan niat memastikan ahli-ahlinya hilang keahlian.
Bagaimanapun, jelas beliau, Speaker telah membuat tafsiran undang undang yang berkaitan secara menyeluruh tanpa ada desakan atau dipengaruhi oleh Kerajaan Perpaduan.
Terdahulu, Johari menggunakan kuasa budi bicara dalam membuat keputusan mengekalkan kedudukan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.
#Parlimen #Speaker Dewan Rakyat #Mohamed Khaled Nordin #enam Ahli Parlimen Bersatu