Papagomo umum berjuang bersama Tun M

Sinar Harian
Jun 4, 2023 08:00 MYT
Dr Mahathir (kanan) menggunting rambut Wan Muhammad Azri sebagai simbolik nazarnya yang sudah tertunai. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo pada Sabtu secara rasmi mengumumkan bahawa akan menyambung perjuangannya bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, perjuangan tersebut adalah demi agama, bangsa, tanah air dan bukannya atas mana-mana parti politik.
Jelasnya, perkara tersebut adalah iltizam dirinya untuk meneruskan perjuangan yang telah dimulakan sejak 2008.
“Selagi tidak ada tugas rasmi untuk aku berjuang demi agama bangsa dan tanah air, aku tidak akan potong rambut dan jambang aku ini.
“Inilah nazar aku sejak digantung dari UMNO September 2021. Jadi tadi Tun Dr Mahathir potong sedikit rambut aku simbolik bagi nazar aku yang sudah tertunai.
“Aku rasa nak menangis tadi sebab perkara ini aku sahaja yang lalui pahit manis perjuangan ini di samping keluarga dan sahabat yang kekal setia bersama dalam perjuangan ini,” katanya dalam hantaran pada Sabtu.
Ketika menyertai UMNO, beliau berkata, perkara sama turut dilakukan iaitu menyatupadukan bangsa dan melawan DAP serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, setelah digantung daripada parti, beliau mengambil keputusan untuk berehat dan dalam masa sama kembali kepada agama.
“Ramai yang panggil aku berjuang tetapi tidak kena pada nazar aku malah sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) tempoh hari pun bermacam-macam panggilan dan tawaran buat aku untuk berjuang.
“Semua itu aku tolak kerana tidak kena pada apa yang aku nazarkan. Aku bukan nak berjuang kerana parti politik, aku tak nak pergi berjuang atas kerana parti.
“Aku sudah bernazar perjuangan ke hadapan ni adalah menyatupadukan bangsa Melayu melangkaui politik kepartian,” ujarnya. - Sinar Harian
#Wan Muhammad Azri Wan Deris #Papagomo #Mahathir Mohamad #perjuangan
;