Papa Gomo tawar diri lawan Anwar di Port Dickson
Haider Yutim, Diyana Ibrahim
September 13, 2018 16:56 MYT
September 13, 2018 16:56 MYT
Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papa Gomo mengakui telah menawarkan diri untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wan Muhammad memberitahu, dia telah pun menyerahkan namanya kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.
"Ya, dan Tok Mat (Mohamad Hasan) terima dan sekarang tengah tunggu keputusan mesyuarat perhubungan BN Negeri Sembilan dan BN Port Dickson.
"Saya harap (BN) pusat akan terima saya," katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI.
Semalam, Wan Muhammad menerusi kenyataan di akaun Facebooknya menawarkan diri untuk diletakkan sebagai calon BN di Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar.
"Aku menawarkan diri untuk diletakkan sebagai calon BN jika pucuk pimpinan parti bersetuju, yang mana aku sanggup menjadi 'punching bag' kepada Anwar Ibrahim.
"Biar aku yang diserang atau dibogelkan asal bukan Tok Mat Hasan aset UMNO yang ada hari ini.," tulisnya.
Jelas Wan Muhammad, tindakan itu adalah kerana Mohamad Hasan merupakan seorang pemimpin yang bersih dan cukup disegani, dan proses kempen PRK itu boleh menjejaskan imej bersihnya.
"Imej Tok Mat Hasan hari ini bersih dan sudah pasti fitnah dan juga cerita buruk akan jaja pada PRK bagi memberikan imej negatif rakyat kepada Tok Mat Hasan dan seterusnya kepada UMNO," katanya lagi.
Selain itu, Wan Muhammad juga telah memuat naik sebuah video mengulas tentang isu berkenaan.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi kawasan itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68 tahun mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sekali gus menyertai Dewan Rakyat dan menjadi Perdana Menteri ke-8.
#Anwar Ibrahim
#Barisan Nasional
#BN
#Mohamad Hasan
#Papa Gomo
#pilihan raya kecil
#Port Dickson
#PRK Port Dickson
#Tok Mat Hasan
#UMNO
#Wan Muhammad Azri Wan Deris