Panggilan video dekatkan calon dengan pengundi yang jauh

Adie Sufian Zulkefli
Mei 6, 2018 14:59 MYT
Norsabrina panggilan video dijadikan platform baharu untuk beliau berinteraksi dengan penduduk.
Walaupun jauh tetapi ia bukan penghalang bagi seseorang calon untuk mendekatkan diri seterusnya berhubung dengan pengundi.
Bagi Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor panggilan video dijadikan platform baharu untuk beliau berinteraksi dengan penduduk.
Katanya di DUN Bandar Baharu mempunyai 18 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan 51 Pondok Mini untuk beliau sampai serta mengadakan lawatan dalam tempoh berkempen ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah mengambil alternatif ini untuk terus mendekatkan diri kepada pengundinya.
"Kadang-kadang apabila saya terlewat sampai ke tempat itu saya punya wakil akan pergi dahulu. Apabila mereka sampai saya akan buat panggilan video.
"Sebagai contohnya sekarang saya berada di peti undi Permatang Empat Telunjuk yang mana sekarang juga ada satu kenduri orang ramai di Taman Cempaka, Selama. Jadi saya telah membuat panggilan video dahulu dengan tuan rumah dan memaklumkan saya akan tiba sebentar lagi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Ahad.
Tambah Norsabrina, kecanggihan teknologi ketika ini memudahkan calon untuk mengubah cara berkempen.
Beliau turut menyifatkan pilihan raya umum kali ini sangat mencabar menerusi perang siber tetapi ia sedikit pun tidak menggentarkan beliau untuk terus berjuang sehingga ke hari mengundi 9 Mei nanti.
Ahli biologi berusia 38 tahun itu jelas begitu bersemangat untuk mempertahankan kerusi DUN dimenanginya pada PRU13 lalu.
#Bandar Baharu #Barisan Nasional #DUN #Kedah #Kulim #Malaysia Memilih #Norsabrina Mohd Noor #panggilan video #video call
;