Pandangan Gobind mengenai kekalahan Dyana Sofya tidak matang - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain
Jun 5, 2014 13:34 MYT
Calon DAP bagi pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud
Isu hudud yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan sekali lagi menjadi pertikaian antara PAS dan DAP.
Kali ini bukan pertikaiannya bukan disebabkan usaha PAS untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen tetapi kerana kekalahan calon DAP di Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.
Umum mengetahui, DAP gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 31 Mei lepas setelah Dyana Sofya tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti tipis, 238 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, DAP memenangi kerusi parlimen Teluk Intan menerusi calonnya, mendiang Seah Leong Peng yang menewaskan Mah dengan majoriti 7,313 undi.
Selepas Dyana tewas, ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang kecewa. 'Dyanamania' tidak mampu untuk mengekalkan kerusi Teluk Intan.
Yang paling kecewa tentunya pemimpin DAP kerana mereka hilang satu kerusi parlimen. Punca kekalahan mula dicari dan ada antara pemimpin DAP mula menyalahkan PAS dengan mengatakan isu hudud adalah penyebab Dyana Sofya tewas.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo antara pemimpin DAP yang menyatakan pandangan bahawa isu hudud merupakan punca kekalahan DAP di Teluk Intan.
Dalam tulisannya, Gobind berkata "I am of the view that the controversy around the implementation of hudud by PAS contributed significantly to our loss in Teluk Intan." (Saya berpandangan bahawa kontroversi yang meliputi perlaksanaan hudud oleh PAS menjadi penyumbang besar kepada kekalahan kami di Teluk Intan.)
Gobind juga berpendapat, “This could have resulted in a silent protest vote against Pakatan Rakyat”, yang bermaksud "Ini mungkin telah menyumbang kepada undi protes senyap terhadap Pakatan Rakyat."
Pandangan Gobind ini segera disanggah oleh PAS menerusi beberapa pemimpin mereka, antaranya Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang meminta DAP tidak menyalahkan PAS atas kekalahan Dyana Sofya di Teluk Intan.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kekalahan Dyana Sofya bukan alasan untuk menunding jari menyalahkan pihak lain tetapi gabungan pembangkang itu perlu memberi tumpuan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.
"Apa saja faktor kemenangan atau kekalahan perlu diperkatakan berdasarkan kajian," Dr Dzulkefly dipetik sebagai berkata.
PAS Kelantan juga menolak pandangan yang dilontarkan oleh Gobind dan menegaskan jika pelaksanaan hukum hudud menjadi faktor utama kekalahan DAP di Teluk Intan, sudah tentu ia turut menjejaskan parti itu dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor.
"Tetapi PRK Bukit Gelugor DAP menang dan tidak terjejas. Jadi ini tidak bersangkut paut dengan hukum hudud yang kita nak laksanakan," kata Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika mengulas kenyataan Gobind itu.
Pandangan yang sama dikongsi oleh penganalisis politik, Dr Maszlee Malek dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berpendapat, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mengeluarkan pendapat berdasarkan spekulasi dan persepsi semata-mata.
Dr Maszlee berpendapat kenyataan yang dibuat Gobind itu agak tidak matang dan tidak cermat dalam menjaga hubungan dalam Pakatan Rakyat.
"Selagi tidak ada bukti yang dibuat menerusi kajian yang mendalam tidak sepatutnya mana-mana pemimpin membuat kenyataan secara tergopoh-gapah berdasarkan spekulasi dan persepsi.
"Bila sudah ada bukti, semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka dan perlu bekerja ke arah untuk mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat," katanya kepada Astro AWANI.
Selain Gobind, beberapa pemimpin DAP lain turut menyatakan pandangan mereka mengenai kekalahan Dyana Sofya. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyatakan pandangannya dalam satu tulisan bertajuk, "Teluk Intan: A Battle Lost, but A War to be Won".
Dalam tulisan itu, Tony Pua menyatakan bahawa usaha DAP di Teluk Intan tidaklah semudah seperti mana yang mereka hadapi di Bukit Gelugor.
#DAP #Dyana Sofya #Gobind Singh Deo #Maszlee Malek #PAS
;