'Palanivel, tolong profesional settle masalah dalaman MIC' - Syed Ali

Wan Syamsul Amly
Jun 21, 2015 17:10 MYT
SYED ALI: 'Palanivel, tolong profesional settle problem MIC' - Gambar fail
Datuk Seri G. Palanivel diminta bersikap lebih profesional dalam menyelesaikan kemelut MIC dan tidak menuduh Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai antara punca pergolakan partinya.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alahabshee berkata, tuduhan kepada Najib itu akan menampakkan Najib seorang yang pilih kasih antara parti komponen di bawah BN sendiri.
"Palanivel perlu sedar dirinya dan tidak sesuka hati menyalahkan Najib yang menjadi pencetus masalah MIC. Tolonglah jadi profesional untuk selesaikan masalah MIC.
"Tidak adil mengheret Najib di dalam kemelut parti mereka. BN tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti lain dan selama ini memberi kebebasan kepada parti itu untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Syed Ali mengulas kenyataan Najib yang mahu memanggil Palanivel berhubung komen yang dibuat di PWTC.
BACA: Krisis MIC: Najib akan panggil Palanivel beri penjelasan
Najib dilaporkan berkata, Palanivel harus berhenti menyalahkan pihak lain dan akur kepada keputusan mahkamah.
Najib mengeluarkan kenyataan berkenaan dalam kemas kini di akaun Twitternya pada Ahad.
BACA: Palanivel harus kekal sebagai Presiden MIC - Balakrishnan
Sementara itu kata Syed Ali, setiap parti diakui mempunyai masalah dalaman dan pasti ada cara untuk menyelesaikannya.
"Ahli parti MIC bukan tidak bijak dalam menentukan masa depan parti mereka sendiri.
"UMNO juga ada masalah sendiri, begitu juga MCA, Gerakan dan semua parti yang bernaung di bawah BN," katanya.
BACA: MIC bercadang adakan pemilihan semula - Palanivel
Pada Sabtu, Palanivel dilaporkan berkata, MIC bercadang mengadakan pemilihan semula jawatan dari peringkat cawangan hingga presiden sebelum akhir tahun ini.
BACA: "Tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan Palanivel"- Saravanan
Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, bagaimanapun berkata perkara itu belum muktmad memandangkan rayuannya untuk membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar MIC mengadakan pemilihan semula, masih belum diputuskan mahkamah.
#BN #MIC #najib #Palanivel #Syed Ali #UMNO
;