Palanivel dianggap bukan lagi ahli MIC - Subramaniam

Anthea Yap
Jun 21, 2015 23:46 MYT
Timbalan presiden, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, Palanivel (gambar) dan empat lain sudah menyaman Pendaftar Pertubuhan (R-O-S) tanpa persetujuan C-W-C atas kapasiti persendirian.
Mesyuarat khas MIC hari ini meluluskan resolusi bahawa presiden parti Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi ahli parti itu.
Resolusi dibuat berlandaskan artikel 91 perlembagaan parti di mana sesiapa yang membawa hal parti ke mahkamah tanpa persetujuan jawatankuasa kerja pusat (CWC) dilucutkan keahlian dalam parti.
Timbalan presiden, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, Palanivel dan empat lain sudah menyaman Pendaftar Pertubuhan (R-O-S) tanpa persetujuan C-W-C atas kapasiti persendirian.
Oleh itu, mereka harus menerima akibat daripada perbuatan mereka.
“Kita telah mengadakan satu perjumpaan khas dengan ketua-ketua cawangan membabitkan 2758 ketua cawangan telah datang ke majlis ini. Kita dah buat process verifikasi mereka dengan menggunakan satu pihak luar.
"Selain itu, ia turut dihadiri oleh 95 ketua bahagian dan lebih kurang semua pemimpin atasan MIC dan dua timbalan menteri yang ada dalam kerajaan”, kata beliau ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan pemilihan semula semua jawatan yang akan bermula Julai ini.
Pemilihan yang dibuat jawatankuasa kerja pusat (CWC) interim 2009 diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan bermula di peringkat cawangan dan seterusnya ke jawatan tertinggi parti.
Beliau berkata pemilihan itu akan bermula dari 10 hingga 12 Julai depan dan pengundian akan dibuat pada minggu seterusnya.
Pemilihan semula itu dijangka akan berakhir Oktober ini.
Subramaniam berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan khas yang dihadiri 6 ribu ahli parti termasuk bekas presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu di PWTC, pada Ahad.
#CWC #MIC #Palanivel #samy vellu
;