Palanivel bukan lagi Presiden MIC, Dr Subra kini pemangku
Astro Awani
Jun 16, 2015 16:57 MYT
Jun 16, 2015 16:57 MYT
Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini mengumumkan menjadi pemangku Presiden MIC menggantikan Datuk Seri G. Palanivel.
Katanya, selain dirinya, bekas Setiausaha Agung, A. Sakthivel dilantik menjadi Setiausaha Agung dan bekas Ketua Pemuda MIC, Senator Datuk S. A. Vigneswaran dilantik menjadi Setiausaha Eksekutif.
Datuk M.Saravanan kekal sebagai Naib Presiden MIC.
"Palanivel dan empat lagi ahli 'kumpulannya' bukan lagi ahli MIC.
"Mesyuarat sebelum ini sudah memutuskan demikian," katanya dalam satu sidang media tergempar di ibu pejabat MIC di sini.
Pada Selasa, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel menggantung keahlian 15 orang pemimpinnya termasuk Subramaniam dan Naib Presiden, Datuk M. Saravanan.
Palanivel berkata penggantungan ini akan berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh 12 bulan.
Beliau bertindak demikian atas sebab satu notis bertarikh 15 Jun 2015 untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009-2013, yang dikeluarkan oleh ahli-ahli CWC itu sendiri.
Selain daripada Subramaniam dan Saravanan, Palanivel turut menggantung keahlian Datuk Seri S. K. Devamany, N. Rawisandran, Datuk R. Ganesan, Datuk M. Davendran, Datuk KRA Naidu, Datuk V. M. Panjamothy, P. Manivasagam, S. Ananthan, M. Mathuraiveran, Datuk M. Asojan, P. Shanmugan, K.R. Parthiban dan Mohana Muniandy.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak dua pemohonan semakan kehakiman oleh Palanivel dan empat individu lain yang mencabar arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan pemilihan semula parti.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan bahawa tiada sebab untuk mahkamah campurtangan dalam keputusan RoS memandangkan ia adalah munasabah dan rasional, sejajar dengan Seksyen 16(1) dan Seksyen 18 (b)(1) Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah memerintahkan kelima-lima pemohon itu supaya membayar kos berjumlah RM90,000 kepada RoS, Menteri Dalam Negeri dan Saravanan, sebagai pencelah dalam permohonan itu.